jata negara small
 

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

 ISU DAKWAAN TERDAPAT KALIMAH ALLAH
PADA LOGO KASUT

 
Bil. 13/2024

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius terhadap isu logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah yang tular di media sosial baru-baru ini. Isu ini jelas melibatkan sensitiviti umat Islam serta boleh menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

2. Justeru, seperti yang diarahkan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), pada hari ini JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn. Bhd., Dato’ Sri Ng Chuan Hoo bagi tujuan siasatan dan meminta penjelasan mengenainya dan langkah-langkah pihak syarikat untuk mengelakkan isu seumpama ini berulang.

3. Pihak Vern’s Holding Sdn. Bhd. telah menjelaskan kedudukan sebenar isu tersebut serta memohon maaf. Pihak syarikat telah mengambil tindakan drastik dengan menarik balik serta-merta produk tersebut dari lebih 70 cawangan Vern’s di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

4. JAKIM juga menyokong penuh tindakan pihak PDRM dalam mengadakan siasatan lanjut dan sekiranya wujud elemen disengajakan dalam isu logo kasut tersebut oleh pihak syarikat, maka tindakan sewajarnya perlu diambil berlandaskan undang-undang di negara ini. JAKIM juga tidak mahu kes sebegini berulang lagi di masa akan datang sama ada oleh pihak Vern’s Holding Sdn. Bhd. dan juga semua pihak yang menghasilkan apa sahaja produk jualan.

5. JAKIM memperingatkan dengan tegas kepada pihak Vern’s Holding Sdn. Bhd. dan juga kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini.

6. Dalam masa yang sama semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu yang menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) yang boleh menimbulkan ketegangan dan menjejaskan keharmonian serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan memandangkan kes ini telah pun dibuka kertas siasatan oleh pihak PDRM.

Sekian.


DATIN PADUKA HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
8 April 2024