logo_jheaij.png   jata_negara-small_2.png
 

KENYATAAN MEDIA BERSAMA

 YANG BERHORMAT MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) DAN
YANG BERHORMAT PENGERUSI JAWATANKUASA HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR

 BERKENAAN

 KEPENTINGAN MEMELIHARA KEHARMONIAN HIDUP MASYARAKAT BERBILANG KAUM

 
Bil. 15/2024



1. Kenyataan media ini adalah Kenyataan Media Bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor berikutan isu yang tular mengenai penyalahgunaan kalimah Allah. Kenyataan ini menegaskan bahawa Kerajaan memandang serius terhadap beberapa insiden yang telah berlaku sejak kebelakangan ini melibatkan sensitiviti umat Islam. Perkara ini semakin membimbangkan kerana telah menggugat keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. Bermula dengan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang dijual oleh pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, isu logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah yang dijual oleh pihak Vern’s Holding Sdn. Bhd. dan yang terkini isu penjualan sejadah mini dengan tanda label yang mengelirukan dijual di AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON Big) yang dibekalkan oleh A&R Fashion Collection (A&R).

2. Perkara ini telah diambil tindakan yang sewajarnya oleh pihak PDRM terhadap pihak-pihak yang terlibat berlandaskan undang-undang di negara ini. Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu-isu sebegini di masa akan datang.

3. Dalam hal ini, Kerajaan menasihatkan seluruh masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa supaya menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas 26 Februari 2024 yang lalu. Baginda telah menekankan tentang kepentingan hubungan perpaduan antara kaum dan semua lapisan masyarakat perlu memperkukuh perpaduan negara dan tidak menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R (race, religion and royalty).

4. Kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif dalam rangka melaksanakan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di- Pertuan Agong dan bagi meredakan isu ini. Dalam kes penyalahgunaan kalimah Allah pada stoking dan kasut, JAKIM telah memanggil pihak berkenaan pada 18 Mac 2024 dan 8 April 2024 untuk tujuan siasatan dan amaran keras.

5. Manakala di peringkat negeri Johor, satu jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Bertindak Bagi Menangani Penyalahgunaan Kalimah Allah. Jawatankuasa ini telah dipengerusikan bersama Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor dan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.

6. Semua Dewan Perniagaan, Persatuan Perdagangan Dan Kumpulan Industri hendaklah memberikan komitmen yang tinggi dalam menangani isu yang telah berlaku dan supaya tidak berulang.

7. Kempen kesedaran masyarakat dalam menjaga kepentingan memelihara kehormatan hidup masyarakat berbilang kaum hendaklah sentiasa disuburkan tanpa menidakkan pemantauan berterusan dari semua agensi penguatkuasaan sama ada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Sekian.

“MUAFAKAT ITU BERKAT. KEPADA ALLAH BERSERAH”

وابهلل التوفيق والهدايه والسالم عليمك ورمحة هلل وبراكته

YANG BERHORMAT SENATOR DATO' SETIA DR. HJ. MOHD. NA'IM HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

YANG BERHORMAT TUAN HAJI MOHD. FARED BIN HAJI MOHD KHALID
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor 16 April

2024M bersamaan 7 Syawal 1445H