“Kembali Kepada Ajaran al-Quran “ YB Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim

Darul Quran, Jakim telah menganjurkan satu Seminar Al-Quran Sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-52 pada 1 Ogos yang lalu dan telah dirasmikan oleh YB Senator Dato’ Dr. Mashitah Bt Ibrahim; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Seminar yang diadakan kali kedua sejak tahun 2009 itu turut dihadiri Y.Bhg. Dato’ Wan Mohamad Bin Dato’ Sheikh Abd Aziz; Ketua Pengarah JAKIM.
 
Di dalam ucapan perasmiannya YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyeru agar umat Islam berusaha untuk kembali kepada ajaran al-Quran yang sebenar. Beliau juga menyeru agar umat Islam menjadikan keutamaan mempelajari al-Quran dengan memahami kandungan ajarannya dan menyedari bahawa ajaran al-Quran dapat mengembalikan kita kepada kedudukan yang paling mulia di sisi Allah SWT.
 
Seminar kali ini telah diadakan di Dewan Muktamar Pusat Islam dan disertai oleh pegawai-pegawai daripada beberapa bahagian JAKIM, Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri, institusi-institusi tahfiz kerajaan dan swasta serta beberapa buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
 
Beberapa kertas kerja telah dibentangkan oleh pembentang yang kebanyakannya terdiri daripada hakim-hakim Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa seperti Tan Sri Dato’ Hj. Hasan Bin Hj. Azhari (Malaysia), Syeikh Ala’a M. Mohamed A. Qaissi (Iraq), Prof. Dr. H. Said Agil Husin al-Munawwar (Indonesia), Syeikh Sayid Ali Abdul Majid (Mesir), Syeikh Dr Mohammed Ali Atafay (Maghribi) Syeikh Samih Ahmad Khalid Uthaminah (Jordan) dan Dr. Al-Salem Bin Mohamed Mahmoud Al-Shanqiti (Arab Saudi).
 
Antara tajuk kertas kerja yang telah dibentangkan adalah : “Kepentingan al-Quran Dalam Kehidupan”, “Ilmu Tarannum dan Pengamalannya Dalam Pembacaan al-Quran”, “Pemantapan Ilmu Tajwid Dalam Pembacaan al-Quran”, “Mukjizat al-Quran Pada Seni Bacaannya” dan “Sistem Pengajian al-Quran Kini dan Akan Datang”.
 
 
 
 
 
 
 
YB Dato' Dr. Mashitah Ibrahim; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sewaktu menyampaikan ucapan perasmian.
 
 
 
 
Y.Bhg. Dato' Ketua Pengarah Jakim sedang menyampaikan ucapan aluan ketika majlis perasmian berlangsung.
 
 
 
 
 
Y.Bhg. Tan Sri Dato' Hj. Hasan Bin Hj. Azhari antara pembentang Kertas Kerja Seminar.
 
Antara para pembentang kertas kerja.
 
 
 
 
Para peserta sewaktu Seminar al-Quran sedang berlangsung.