“Saya sanggup datang ke Malaysia setiap bulan” - Sheikh Al-Azhar

<?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" />

Sheikh Al-Azhar, Mesir, Prof. Dr. Muhammad Sayyid Tantawi melahirkan komitmennya untuk membantu Malaysia khususnya dalam pembangunan hal ehwal Islam di negara ini walaupun beliau terpaksa datang ke negara ini setiap bulan. Kenyataan itu dilahirkan oleh beliau sewaktu menjawab soalan seorang peserta dalam syarahan perdana beliau yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sempena lawatan rasminya ke <?xml:namespace prefix = st1 ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:smarttags" />Malaysia pada 30 Mei baru-baru ini.

Beliau yang dalam rangka lawatanya ke <?xml:namespace prefix = u1 />Singapura, Indonesia, Malaysia dan Brunei Darus Salam telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Mei 2006 jam 9.30 malam. Ketibaannya telah disambut oleh Y.B. Dato’ Dr. Abdullah bin Md. Zin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Hamid bin Othman, Penasihat Agama Kepada Y.A.B. Perdana Menteri, Dato’ Mustafa bin Abdul Rahman, Ketua Pengarah JAKIM, T.Y.T. Mohamed Ali Afifi, Duta Besar Mesir ke Malaysia dan Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Abd. Aziz, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) serta pegawai-pegawai JAKIM.

Semasa lawatannya ke sini, beliau sempat menyampaikan syarahan perdananya di Dewan Besar, Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bertajuk “Kesederhanaan Dalam Islam”. Syarahan tersebut yang telah dihadiri oleh lebih kurang 1000 orang yang mewakili agensi-agensi kerajaan dan NGO seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), wakil-wakil institut pengajian tinggi awam dan lain-lain.

Beliau juga telah menyentuh mengenai kepentingan pendekatan Islam Hadhari yang diterapkan oleh Kerajaan Malaysia demi memastikan agenda pembangunan Ummah khususnya di Malaysia terlaksana.

Beliau juga sempat memberi pandangannya mengenai isu hangat di media masa kini iaitu mengenai perkahwinan Misyar yang ditimbulkan oleh peserta. Beliau berpendapat bahawa perkahwinan itu adalah sah mengikut Syara’. Namun begitu, ia bukan menjadi amalan di Mesir walaupun diamalkan di beberapa negara Teluk termasuk di Arab Saudi.

Pada hari yang sama, beliau telah diatur untuk menghadiri Majlis Makan Malam bersama tokoh-tokoh cendekiawan Islam tempatan yang telah diadakan di Royal Ballroom 3, Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan Selangor. Majlis tersebut telah dihadiri oleh Y.B. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Penasihat Agama Kepada Y.A.B. Perdana Menteri, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Mufti-mufti Kerajaan Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Ketua Pengarah JAKIM, pegawai-pegawai JAKIM dan lain-lain.

Selain itu, beliau juga sempat menyampaikan ceramah bertajuk “Muslim Unity in the 21st Century: Challenges and Prospects” di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor, pada 31 Mei 2006. Hadir mengikuti ceramah beliau ialah kakitangan akademik dan pelajar UIAM. Dalam ceramah tersebut, beliau telah menekankan kepentingan penguasaan ilmu pengetahuan sebagai teras kekuatan umat Islam dalam perpaduan yang merentasi budaya dan bangsa pada abad ke 21 ini.

Prof. Dr. Muhammad Sayyid Tantawi juga telah meluangkan masanya untuk melakukan kunjungan hormat kepada Y.A.B. Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Pertemuan yang memakan masa hampir satu jam itu telah berlangsung dalam suasana yang amat mesra. Pertemuan berakhir dengan pertukaran Mushaf al-Quran. Beliau telah menghadiahkan al-Quran Mushaf Al-Azhar kepada Y.A.B. Perdana Menteri dan Y.A.B. Perdana Menteri telah menghadiahkan Al-Quran Mushaf Malaysia kepadanya.

Prof. Dr. Muhammad Sayyid Tantawi bertolak meningalkan Malaysia untuk lawatan rasminya ke Brunei Darussalam sebagai destinasi terakhir dalam rangka lawatan sebelum berlepas pulang ke Mesir pada 3 Jun 2006.