28 orang menerima Sijil Tinggi Muamalat
Pusat Ekonomi dan Kewangan Islam, Institut Latihan Islam Malaysia telah menganjurkan program Sijil Tinggi Muamalat (STM) untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang kewangan Islam dari kalangan pegawai-pegawai kerajaan khususnya pegawai-pegawai hal ehwal Islam yang mempunyai kefahaman komprehensif tentang prinsip syariah dan fiqh muamalat, secara teori serta aplikasi semasa.
Kemampuan mengurus permasalahan kewangan adalah asas penting kehidupan. Mereka yang berilmu akan tahu mengurus kewangan, hutang, simpanan, pelaburan, saham serta bijak merancang untuk mengurangkan beban kewangan melalui perlindungan takaful, hibah, wasiat, faraid dan wakaf.
Peserta-peserta program Sijil Tinggi Muamalat seramai 28 orang merupakan pengarah-pengarah, timbalan-timbalan mufti serta para pegawai Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Mufti, Jabatan Akauntan Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, BAKA serta agensi-agensi Islam yang telibat dari Sabah dan Sarawak.
Pada 22 Jun 2012, Majlis Penyampaian Sijil Tinggi Muamalat telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jakim, YBhg. Dato’ Othman bin Mustapha di Dewan Datuk Mohd Shahir ILIM. Dalam ucapan perasmian, Ketua Pengarah Jakim mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan beliau berharap agar para peserta mampu menjadi rujukan kepada masyarakat berkaitan muamalat Islam. YBhg. Dato’ Othman Mustapha turut memuji teknik pembelajaran berperingkat iaitu peringkat permulaan, peringkat pertengahan seterusnya peringkat lanjutan. Ini bagi mematangkan para peserta untuk menimbang, mengolah seterusnya membuat keputusan terhadap sesuatu isu muamalat dalam tempoh kursus.
YBhg. Dato’ Othman melahirkan hasrat agar Sijil Tinggi Muamalat sesi 2012 ini berjaya menghasilkan natijah terbaik buat semua peserta. Kejayaan mendalamai ilmu fiqh al muamalat dan pengurusan kewangan akan memberi kesan positif dalam pentadbiran, bukan sahaja dalam bidang kerja di jabatan masing-masing bahkan juga dalam permasalahan kewangan seharian untuk kehidupan diri dan keluarga.






- Hits : 1378







