Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial Dan Komuniti (KSK) Jakim telah menganjurkan Ijtima’ Pegawai Runding Cara dan Fasilitator Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) Jabatan Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia 2015 pada 30 September & 1-2 Oktober 2015 di Felda Residence Trolak, Sungkai, Perak. Seramai 130 pegawai runding cara dan fasilitator telah menyertai ijtima’ yang dianjurkan ini.
 
Di antara objektif ijtima‘ ini adalah :
 
  • Memberi pendedahan kepada Pegawai Runding Cara dan Fasilitator PKKSK Jabatan Agama Islam Negeri mengenai isu-isu semasa berkaitan keluarga, sosial dan komuniti serta  mekanisme penyelesaiannya menurut perspektif kaunseling Islam;
  • Memberi pengiktirafan dan penghargaan di atas khidmat bakti Pegawai Runding Cara dan Fasilitator PKKSK Jabatan Agama Islam Negeri dalam membantu menyelesaikan permasalahan komuniti setempat; dan
  • Memantapkan perkongsian strategik di antara agensi dalam memperkasakan perkhidmatan dan profesionalisme Pegawai Runding Cara dan Fasilitator PKKSK Jabatan Agama Islam Negeri secara lebih holistik dan berkesan
 
Terdapat 5 pembentangan kertas kerja iaitu :
 
1.Pelaksanaan Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK): Perkongsian Bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan
oleh Ust. Arnizam binti Abdullah
 
2.Pemulihan dan Rawatan Islam (‘Ilaj Syarie) dalam Menangani  Isu Sosial Masa Kini
oleh Dr. Abdul Ghaffar bin Hj. Surip, Jakim
 
3.Konsep Kaunseling Islam Sebagai Metode Dakwah
oleh Prof. Dr. Zainab binti Ismail, Universiti Kebangsaan Malaysia
 
4.Memperkasa Profesionalisme Pegawai Runding Cara dan Fasilitator Khidmat Nasihat Islam: Perspektif Imej dan Keterampilan
oleh Encik Norazman bin Amat, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan
 
5.Runding Cara dan Khidmat Nasihat Islam di Era Media Baharu: Isu, Cabaran dan Penyelesaian
oleh Dr. Md Noor bin Saper, Universiti Pendidikan Sultan Idris        
 
 
 
Majlis Perasmian Penutup & Amanat telah disempurnakan oleh YB. Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri. Beliau turut menyampaikan amanat berkenaan “Hala tuju Perkhidmatan Runding Cara dan Khidmat Nasihat Islam dalam Memperkasa Modal Insan”. YB. Timbalan Menteri menyarankan perkhidmatan runding cara di jabatan agama perlu ditambahbaik dan diberi perhatian serius oleh pihak pentadbiran dan pengurusan dari aspek :
 
  • Kompetensi pegawai runding cara perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi menyediakan mereka dengan maklumat, kemahiran dan kepakaran menangani masalah/aduan klien yang semakin kompleks dan pelbagai
  • Bilangan pegawai runding cara perlu ditambah khususnya di lokasi-lokasi yang mempunyai kepadatan penduduk Islam dan berisiko tinggi (masalah gejala sosial yang tinggi)
  • Sumber kewangan yang khusus perlu diperuntukkan kepada unit runding cara bagi mempergiatkan lagi program-program kekeluargaan dan kemasyarakatan  serta meningkatkan kelengkapan fizikal yang lebih kondusif, teratur dan sistematik
  • Menaik taraf Unit Runding Cara kepada Bahagian Runding Cara bagi memperkasakan lagi fungsi, peranan, perjawatan dan profesionalisme pegawai runding cara
  • Mengubah persepsi masyarakat untuk hadir dan mendapatkan perkhidmatan runding cara/khidmat nasihat di jabatan agama dengan  penawaran perkhidmatan yang terbaik, telus, berintegriti dan beretika
  • Mempromosi dan memperluaskan penggunaan Manual Kaunseling Syarie di dalam perkhidmatan runding cara dan khidmat nasihat Islam.

 

Ijtima Pegawai Runding Cara Dan Fasilitator PKKSK JAIN 2015 1

Ijtima Pegawai Runding Cara Dan Fasilitator PKKSK JAIN 2015 2

Ijtima Pegawai Runding Cara Dan Fasilitator PKKSK JAIN 2015 3