Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Akan Bekerjasama Dengan JAKIM Dalam Program Dakwah

Pada hari Isnin, 7 Mei 2007, JAKIM telah menerima kunjungan rasmi dari Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM). Pihak APIUM diwakili oleh beberapa orang pensyarah dan tutor yang diketuai oleh Y.Bhg. Prof. Madya Mohamad Kamil Hj. Ab. Majid selaku Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan.<?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" />

Lawatan ini adalah bertujuan untuk mengeratkan tali silaturrahim antara APIUM dan JAKIM serta meninjau kemungkinan dapat mewujudkan jalinan kerjasama dalam melaksanakan program-program dakwah kepada masyarakat.

Antara agenda perbincangan diadakan semasa lawatan tersebut, adalah fungsi Bahagian Dakwah JAKIM dan peranan mahasiswa serta pihak universiti dalam menjalankan tugas-tugas dakwah kepada masyarakat awam. Kedua-dua pihak juga bertukar buah fikiran dalam hal yang berkaitan dengan perkembangan semasa dakwah pada masa kini.

Hasil dari perbincangan tersebut, difikirkan amat perlu Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang mempunyai kepakaran dari segi ilmu pengetahuan untuk bekerjasama dengan pihak JAKIM demi memantapkan serta menjayakan tugasan dan peranan dakwah pada masa kini.

JAKIM mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya di atas kesudian mengadakan lawatan tersebut. Semoga jalinan murni tersebut dapat mengeratkan hubungan antara JAKIM dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dalam membantu usaha dakwah kepada masyarakat awam.