WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

MAQASID SYARIAH : SEJAGAT ~ INKLUSIF ~ PROGRESIF
 
MAQASID SYARIAH ASAS KESEJAHTERAAN RAKYAT DAN NEGARA
Syariat Islam diperundangkan oleh Allah SWT bagi memenuhi maslahah seluruh manusia; di dunia dan akhirat. Allah SWT telah menjadikan Syariat Nabi Muḥammad SAW sebagai penutup kepada segala syariat yang sebelumnya. Ia adalah Syariat bagi sekalian umat manusia di setiap tempat dan di sepanjang zaman. Ia mengambil kira kemaslahatan manusia sama ada maṣlaḥah jangka pendek atau maṣlaḥah jangka panjang serta bersifat rahmat kepada sekalian alam, sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” (Surah al-Anbiyā’: 21).
Rahmat yang terungkap dalam ayat tersebut diterjemahkan ke dalam nilai-nilai maqasid Syariah, iaitu memperoleh kebaikan dan mengelakkan keburukan. Justeru, segala ajaran Syariat yang diturunkan oleh Allah adalah terangkum dalam dua nilai tersebut yang merupakan subjek asas kepada maqasid Syariah.
Maslahah yang menjadi teras kepada maqasid Syariah adalah sesuai untuk semua manusia pada setiap tempat dan zaman; untuk orang Islam dan bukan Islam. Ini berasaskan konsep Islam rahmat untuk sekalian alam dan Syariatnya adalah selari dan menepati fitrah manusia. Bidang pentadbiran negara merupakan salah satu lapangan yang diberikan perhatian dalam Syariat. Ia adalah lapangan yang sangat penting dan menjadi tonggak kepada kesejahteraan manusia. Bagi memastikan konsep rahmaatan lil alamin dilaksanakan dalam aspek tadbir urus negara, nilai-nilai maqasid Syariah hendaklah mengiringi segala tindakan dan urusan pentadbiran negara agar kemaslahatan rakyat dan negara terjamin.
 
 
KEPENTINGAN MAQASID SYARIAH DALAM TADBIR URUS
 
Kepentingan pengamalan dan penghayatan maqasid Syariah dalam pentadbiran negara terserlah melalui perkara-perkara berikut:
 
a. Memberikan fleksibeliti dalam urusan pentadbiran sejajar dengan kemaslahatan.
Urus tadbir negara berdasarkan kepada maqasid Syariah akan menyerlahkan bahawa Syariat Islam dalam urusan pentadbiran adalah bersifat fleksibel sejajar dengan kemaslahatan. Ini kerana urusan-urusan pentadbiran tidak hanya dihadkan kepada nas-nas wahyu sama ada al-Quran dan Sunnah, tetapi ia terbuka kepada ijtihad pemerintah selagi mana tidak ada pelanggaran terhadap nas-nas Syarak. Justeru, kefahaman terhadap maqasid Syariah dan penghayatannya dalam urus tadbir negara akan menyerlahkan keindahan Islam dan kesesuaiannya sebagai agama sejagat sepanjang zaman.
 
b. Menghasilkan tindakan-tindakan yang berpandangan jauh yang membawa kepentingan kepada negara dan rakyat.
Dengan berpandukan kepada kaedah-kaedah dalam maqasid Syariah, pemerintah akan sentiasa berpandangan tajam dan jauh dalam menilai dan menimbang antara tahap-tahap kemaslahatan dan kemudaratan yang terhasil daripada sebarang tindakan. Dengan pertimbangan tersebut, tindakan-tindakan kerajaan akan sentiasa membawa kepada kemaslahatan dan memberikan kepentingan walaupun secara zahir dan dari pandangan singkat ia merugikan.Sebagai contoh, peristiwa Ḥudaybiyyah telah memperlihatkan kepimpinan dan pentadbiran Rasulullah SAW yang bertepatan dengan kehendak maqasid Syariah. Baginda menunjukkan sifat toleransi dan diplomasi dengan bersetuju dengan permintaan orang Quraysh terhadap beberapa perkara yang secara zahirnya merugikan orang Islam dan menguntungkan musuh. Antaranya baginda bersetuju bahawa nama baginda hanya ditulis sebagai ‘Muḥammad ibn ʿAbdillāh’, bukannya ‘Muḥammad Rasulullah’. Baginda juga bersetuju dengan pensyaratan bahawa mana-mana orang Quraysh yang mendatangi baginda walaupun telah menganut Islam hendaklah dipulangkan ke Makkah. Walaupun ia secara pandangan singkat merugikan Islam dan orang-orang Islam, tetapi dengan kebijaksanaan baginda dalam pentadbiran, ia adalah penyebab kepada kemenangan yang besar di kemudian hari.
 
c. Menyerlahkan kesempurnaan Islam dan menjadi tarikan terhadap agama Islam.
Nilai-nilai yang ada dalam maqasid Syariah adalah bertepatan dengan fitrah manusia yang mahukan kebaikan dan mengelak daripada keburukan. Elemen yang terkandung dalam maqasid Syariah iaitu memperoleh kebaikan dan mengelakkan kemudaratan akan menatijahkan kesejahteraan, keamanan dan keharmonian dalam negara. Pengamalan nilai-nilai maqasid Syariah dalam pentadbiran akan menyerlahkan bahawa Islam adalah agama rahmat, sesuai dengan firman Allah Taala: وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ (Surah al-Anbiyā’: 21).
 
 
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 19 Februari 2019.
Jumlah Pelawat :12264228