jata negara small

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

e-BOOK TIPS MENGHADAPI COVID-19

Alhamdulillah, sukacita saya memaklumkan bahawa JAKIM telah menerbitkan e-book Tips Menghadapi COVID-19 (Panduan Menurut Perspektif Islam). Ianya mengandungi tips atau panduan yang boleh diamalkan oleh umat Islam dalam menghadapi pandemik COVID-19.
 
Apabila dunia dilanda penularan wabak COVID-19, ramai dalam kalangan masyarakat dunia menghadapinya dalam keadaan agak panik. Kekhuatiran dan kerisauan pastinya melanda, tambahan pula bagi mereka yang dikategorikan sebagai person under investigation (PUI) dan dikehendaki menjalani kuarantin di lokasi yang ditetapkan. Walaupun situasi ini telah berlalu sejak lebih dua bulan yang lalu, namun ianya masih belum berpenghujung.
 
Oleh yang demikian, JAKIM mengambil langkah menyediakan naskah e-book Tips Menghadapi COVID-19 yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat Islam di Malaysia khususnya bagi mereka yang dijangkiti oleh wabak ini. Begitu juga disediakan panduan untuk ahli keluarga bagi menghadapi situasi di mana ada daĺam kalangan ahli keluarga yang dijangkiti virus COVID-19 ini.
 
Justeru, e-book Tips Menghadapi COVID-19 diterbitkan dan boleh dicapai oleh masyarakat awam secara dalam talian bagi memudahkan semua pihak mendapatkan maklumat walau di mana mereka berada. e-Book ini boleh dimuat turun dari portal rasmi JAKIM www.islam.gov.my atau klik di pautan https://bit.ly/TipsHadapiCovid19
 
Saya dan seluruh warga JAKIM turut mendoakan agar semua umat Islam di Malaysia akan terus cekal dan bersabar serta berjihad melawan COVID-19 dengan mematuhi apa jua arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak yang berwajib. Kita Mesti Menang!
 
Sekian
 
 
DATO' PAIMUZI YAHYA
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
23 Mei 2020M / 30 Ramadhan 1441H