Bayu Harapan

 
Selepas 2 negeri  iaitu Johor dan Melaka, Program Rakan Setia Komuniti (RSK) telah diadakan di Negeri Sabah. Program ini adalah anjuran Bahagian Pembangunan  Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) yang telah berlangsung pada 9-12 Jun 2012 bertempat di Pusat Latihan Islam Kundasang, Sabah. Program ini adalah kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah, PDRM, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) Negeri Sabah dan Pejabat Kesihatan Negeri Sabah.
 
Perasmian program ini disempurnakan  oleh Encik Bernard Kimin, Penolong Pegawai Tadbir Daerah Ranau merangkap Setiausaha Pemadam Negeri Sabah. Majlis perasmian itu telah dihadiri oleh Ustazah Saimah Mukhtar, Pengarah Bahagian KSK, wakil AADK, wakil PDRM dan wakil Pejabat Kesihatan. Peserta  program ini terdiri daripada Orang Kena Pengawasan (OKP) dari AADK daerah Ranau, Sandakan, Tawau, Kudat, Tuaran dan Kota Kinabalu.
 
Objektif program adalah untuk  memberi kesedaran tentang aspek kerohanian iaitu penerapan ilmu agama, kesedaran tentang penjagaan kesihatan, tatacara sebagai orang-orang yang dikenakan pengawasan oleh polis dan AADK atas kesalahan penyalahguanaan dadah serta cara-cara pengurusan emosi.
 
Diakhir program, JAKIM dengan kerjasama Dagang Asia.Net yang diwakili oleh Encik Arnizzam Abdullah yang juga mewakili PROPEL (Syarikat Pengurusan Lebuhraya) mengadakan sesi temuduga kepada peserta untuk bekerja dengan Syarikat PROPEL. Sambutan dari peserta dalam sesi temuduga tersebut amat menggalakan dan di luar jangkaan.
 
Program ini juga menggunakan pendekatan menghijrahkan para peserta dengan cara memberi peluang pekerjaan ke tempat lain dengan harapan mereka dapat mengubah kehidupan serta meningkatkan taraf hidup mereka dan disamping itu mengekalkan kepulihan. InsyaAllah, mereka akan tiba di semenanjung dalam masa terdekat untuk memulakan pekerjaan. Sanggup berhijrah daripada kampung halaman satu pengorbanan yang besar. Harapan dengan penghijrahan ini dapat memberikan impak yang positif.
 
Rakan Setia Komuniti (RSK) ini akan diteruskan di negeri Pahang dan Perak.
 
 
 
 
 
Majlis perasmian oleh Encik Bernard Kimin, Penolong Pegawai Tadbir Daerah Ranau merangkap Setiausaha Pemadam Negeri Sabah
 
 
 
 
Peserta Solat Berjemaah
 
 
 
Senaman dan Riadah
 
 
 
 
 
 
 
 
Ceramah dari Pejabat Kesihatan Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS)  dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) Sabah serta perkongsian pengalaman Pembimbing Rakan Sebaya (PRS)
 
 
 
 
 
 
Sesi Temuduga Oleh Wakil Majikan
 
 
Bergambar kenang-kenangan berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu
Tarikh: 
Jun 09, 2012