Bengkel Draf Asas Modul Sijil Tinggi Falak Syarie
Ilmu falak merupakan salah satu cabang ilmu sains tabie yang mengkaji tentang perjalanan cakerawala seperti bumi, bulan, matahari dan bintang-bintang. Perkataan cakerawala berasal dari bahasa Sanskrit yang bermakna sesuatu yang berputar. Manakala perkataan falak berasal dari bahasa Sumerian iaitu pilak bermakna sesuatu yang berputar. Ilmu falak dalam bahasa Latin ialah astronomi yang bermakna ’ilmu mengenai bintang’. Dalam al-Quran, perkataan falak digunakan untuk menunjukkan sesuatu benda yang beredar di langit. Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah Yasin ayat 39-40 yang bermaksud :
”...Dan bulan pula Kami takdirkan ia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering. (Dengan ketentuan yang demikian), dan malam pula tidak dapat mengetahui siang kerana setiap satunya beredar di tempat peredaran masing-masing.”
Surah Yunus ayat 5 pula yang bermaksud :
”...Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah randah) pada tempat peredarannya masing-masing supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui ( hikmat sesuatu yang dijadikanNya)”.
Jakim melalui Cawangan Pembangunan Modul dan Kurikulum, Bahagian Pembangunan Insan telah melaksanakan Bengkel Draf Asas Modul Sijil Tinggi Falak Syarie pada 17-18 Julai 2012 bertempat di Hotel Empress, Sepang.
Bengkel ini telah dihadiri oleh seramai 28 orang termasuk urus setia yang diketuai oleh YBhg. Prof. Dato’ Mohd Zamri bin Zainuddin, Pensyarah Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Malaya. Para fasilitator dan peserta bengkel adalah terdiri daripada :
1) Dr. Azhari bin Mohamed, Pengarah Ukur Seksyen Geodesi, JUPEM,
2) Tuan Syed Kamaruzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi Persatuan Falak Syarie, Malaysia,
3) Prof. Dr. Zainol Abidin bin Ibrahim, Jabatan Fizik, Fakulti Sains UM,
4) Dr. Abdul Halim bin Abdul Aziz, Pusat Pengajian Sains Fizik USM,
5) Dr.Saadan bin Man,Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,UM,
6) Dr. Ibnor Azli bin Ibrahim, Jabatan Syariah , Fakulti Pengajian Islam,UKM,
7) Tuan Haji Mohamad Saupi bin Che Awang, Fakulti Kejuruteraan & Sains Geoinformasi UTM,
8) Dr Radzuan bin Nordin, Pengarah Pusat Islam UTeM,
9) Dr.(H) Hj. Kassim bin Bahali, Jabatan Mufti , Negeri Melaka,
10) Us. Khairul Anuar bin Yazid, Pej. Mufti Wilayah Persekutuan,
11) Us. Mohd Marngi bin Wasim, Pej. Mufti Wilayah Persekutuan,
12) Us. Abdul Latip bin Ibrahim , Jabatan Mufti Negeri Selangor,
13) En. Mohammad Redzuan bin Tahar, Planetarium Negara, ANGKASA MOSTI,
14) En. Muhamad Nur bin Muhamad Yatim, Seksyen Geodesi , JUPEM dan
15) En Ridwan bin Shafei, Seksyen Geodesi, JUPEM
Wakil-wakil Jakim adalah pegawai daripada Cawangan Falak Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan Bahagian Pembangunan Insan.
Objektif utama bengkel yang dianjurkan ini adalah bertujuan membangunkan Modul Sijil Tinggi Falak Syarie yang komprehensif untuk diguna pakai oleh pusat-pusat latihan Jakim dalam memperkasakan lagi modal Insan Perkhidmatan Hal Ehwal Islam di Malaysia, serta masyarakat awam bagi memperkenalkan ilmu-ilmu falak yang sinonim dengan ulama’ terkemuka Islam seperti Al-Khawarizmi, al-Biruni, Ibn Sina dan lain-lain.





Tarikh:
Jul 20, 2012   - Hits : 1454







