Bengkel Fardhu Kifayah Pengurusan Jenazah Di Miri

JAKIM Cawangan Sarawak Unit Miri telah mengadakan Program Bengkel Fardhu Kifayah Pengurusan Jenazah pada 7 Februari 2010 bertempat di Surau Darul Taqwa Kampung Lopeng Tengah, Miri. <?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" />

Kursus selama sehari ini dijalankan secara bengkel dengan kerjasama daripada Jawatankuasa Surau Darul Taqwa Kampung Lopeng Tengah dan Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Miri. Bengkel bermula seawal jam 8.00 pagi dengan sesi dijalankan secara ceramah dan praktikal. Ceramah-ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Haji Rosli bin Arup, Ketua Penolong Pengarah JAIS Zon Utara, Ustaz Muhammad Naqzrul Azraf bin Mohd Nazarludin, Ketua Unit JAKIM Miri, Ustaz Mohd Jol bin Ahmad dan Ustaz Malsiron bin Rogikin selaku Pegawai Naqib JAIS Miri yang juga mengendalikan bengkel praktikal.

Sambutan yang diberikan oleh masyarakat tempatan amat menggalakkan kerana kebanyakan mereka dapat berinteraksi serta dapat mengemukakan persoalan berkaitan dengan kematian dan pengurusan jenazah. Mereka juga melahirkan rasa puas hati dan berterima kasih di atas kesudian pihak JAKIM Cawangan Sarawak Unit Miri memilih surau mereka untuk melaksanakan program-program.

Program ini tamat pada jam 3.40 petang dengan ucapan penangguhan oleh Ustaz Muhammad Naqzrul Azraf bin Mohd Nazarludin selaku Ketua Unit JAKIM Cawangan Sarawak Miri. Penyampaian cenderahati kepada penceramah pula disampaikan oleh Pengerusi Surau Darul Taqwa, Tuan Haji Rangkut bin Haji Abd Hadi. Program diakhiri dengan jamuan ringan yang disediakan selepas solat asar secara berjemaah.