Jakim logo white small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

ISU INTERFAITH COMMISSION (IFC) DAN PERTUBUHAN MELAYU MURTAD
 
 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati isu Interfaith Commission (IFC) atau Suruhanjaya Antara Agama, Persatuan Melayu Kristian, Pertubuhan Melayu Murtad telah kembali viral di media sosial dan entiti-entiti tersebut dikatakan telah berdaftar secara sah. Jakim telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan isu ini pada 9 Oktober 2014 yang lalu. Jakim berpandangan isu sebegini boleh menimbulkan kebimbangan dan keresahan masyarakat Islam serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
 
Justeru itu, Jakim telah membuat semakan sekali lagi dengan pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkenaan telah mengesahkan bahawa dakwaan yang entiti-entiti tersebut telah berdaftar secara sah di bawah ROS adalah tidak benar sama sekali.
 
Bagi menangani isu ini, Jakim dan Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memelihara kesucian Islam dan membendung umat Islam daripada terjebak dalam perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam.
 
Jakim ingin memberi nasihat kepada umat Islam agar sentiasa berwaspada terhadap isu-isu seperti ini dan dapat memberikan bantuan dengan menyalurkan maklumat Jakim dan Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sekiranya timbul sebarang keraguan atau kemusykilan terhadap sesuatu isu demi menjaga kesucian Islam dan keharmonian hidup masyarakat di negara ini.
 
 
TAN SRI DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
7 November 2016