Kurator Berita : Bahagian Khidmat Pengurusan

Seramai 106 peserta dari 14 buah negeri telah berhimpun dan memperdengarkan bacaan masing-masing sepanjang 7 hari sempena penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 2017 bertempat di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Mereka membabitkan 28 qari dan qariah untuk kategori Tilawah yang terdiri daripada 2 orang wakil bagi setiap negeri iaitu seorang qari dan seorang qariah. Manakala 78 hafiz dan hafizah adalah peserta dari kategori Hafazan iaitu 42 orang peserta hafiz dan 36 orang peserta hafizah.

Majlis bertemakan ”Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah” itu telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri pada 3 April 2017 (Isnin). Manakala majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah pula telah disempurnakan oleh TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob; Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 8 April 2017 (Sabtu).

Jakim buat julung kalinya mempersembahkan kelainan bagi edisi kali ini dengan menggabungkan acara Tilawah dan Hafazan secara serentak yang mana majlis Tilawah diadakan pada sebelah malam manakala majlis Hafazan pula berlangsung di sebelah siang. Setelah sekian lama majlis ini dianjurkan, tahun ini di bumi Melaka telah tercatatnya sejarah dengan penyertaan 3 orang peserta daripada kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu 2 orang qari dari kategori Tilawah dan seorang hafiz dari kategori Hafazan. Persembahan mereka telah mencetus fenomena di seluruh negara, bahkan merentas ke luar negara.

Secara keseluruhannya, Jemaah Hakim sangat berpuashati dengan peningkatan persembahan mutu tilawah dan hafazan para peserta tahun ini. Ke semua peserta telah menunjukkan kesungguhan dan kemampuan persembahan bacaan al-Quran yang membanggakan. Pencapaian bagi kategori Tilawah telah menunjukkan peningkatan keseluruhan sebanyak 0.13% bagi peserta lelaki dan 1.48% bagi peserta wanita berbanding tahun lepas. Pencapaian purata bagi setiap bidang penghakiman tilawah juga amat memuaskan. Manakala bagi kategori Hafazan pula, turut menyaksikan peningkatan mutu hafazan bagi setiap tahap penyertaan. Umpamanya Tahap 1 hingga 10 juzuk, peratusan keseluruhan mencatatkan peningkatan sebanyak 5.46% berbanding tahun 2016. Bagi tahap 1 hingga 20 juzuk pula, meningkat sebanyak 6.45%. Manakala Tahap 1 hingga 30 juzuk meningkat sebanyak 4.11% berbanding tahun lalu. Pencapaian purata bagi setiap bidang penghakiman hafazan juga amat membanggakan.

Bagaimana pun, Jemaah Hakim juga mendapati masih terdapat beberapa kelemahan sebilangan kecil peserta khususnya berkaitan sifat dan mahkraj huruf, kaedah waqaf dan ibtida’ serta terdapat kesalahan baris. Selain itu, masih ada juga peserta yang tidak mampu menjawab soalan tafsir dengan baik sehingga menjejaskan kedudukan mereka. Perkara ini seharusnya diambil perhatian oleh para peserta dan guru pengiring serta pihak negeri supaya meningkatkan usaha ke arah melahirkan hafiz dan hafizah, qari dan qariah yang bermutu dan lebih cemerlang pada masa hadapan.

Lazimnya peserta yang cemerlang dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) ini akan berpeluang mewakili negara dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di dalam dan luar Negara. Justeru Jakim mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka yang akan mewakili Negara ke peringkat antarabangsa seterusnya dapat mengharumkan nama Negara ke persada dunia. Berikut adalah keputusan mengikut kategori:

KATEGORI TILAWAH AL-QURAN

BAHAGIAN QARI/LELAKI

Johan Bahagian Qari

Dengan Markah                  :           89.00%

Disandang Oleh                  :           WAN FAKHRUL RAZI BIN WAN MOHAMAD

Dari Negeri                          :           WILAYAH PERSEKUTUAN

Tempat Kedua      

Dengan Markah                  :           88.34%

Disandang Oleh                  :           HAJI AZRAIE BIN DATO’ ABD HAK

Dari Negeri                          :           MELAKA

Tempat Ketiga

Dengan Markah                  :           87.00%

Disandang Oleh                  :           MUHAMMAD QAYYIM NIZAR BINSARIMI

Dari Negeri                          :           KELANTAN

 

BAHAGIAN QARIAH/WANITA

Johan Bahagian Qariah

Dengan Markah                  :           86.33%

Disandang Oleh                  :           NORMALINA BT ALIAS

Dari Negeri                          :           NEGERI SEMBILAN

Tempat Kedua      

Dengan Markah                  :           84.00%

Disandang Oleh                  :           NOR RUZANA NATIAH BT JAAFAR

Dari Negeri                          :           SELANGOR

Tempat Ketiga

Dengan Markah                  :           83.68%

Disandang Oleh                  :           MUNIRAH BT KASIM

Dari Negeri                          :           KELANTAN

JOHAN KESELURUHAN KATEGORI TILAWAH:       NEGERI KELANTAN

KATEGORI MENGHAFAZ AL QURAN

KATEGORI 1 - 30 JUZUK BESERTA TAFSIR (LELAKI)

Johan Bahagian Hafazan:

Dengan Markah                  :           99.23%         

Disandang Oleh                  :           MUHAMMAD SYAZANI BIN JEMY

Dari Negeri                          :           JOHOR

Tempat Kedua:

Dengan Markah                  :           96.89%

Disandang Oleh                Disandang Oleh                  :           MUHAMMAD ABDULLAH BIN   AZIDIN

Dari Negeri                          :           MELAKA

Tempat Ketiga:

Dengan Markah                  :           95.55%

Disandang Oleh                 :           MOHAMED AZIM BIN MOHAMED IBRAHIM

Dari Negeri                           :           PULAU PINANG

KATEGORI 1-30 JUZUK BESERTA TAFSIR (WANITA)

Johan Bahagian Hafazan:

Dengan Markah                  :           96.16%         

Disandang Oleh                  :           NUR AMALINA BT AZHARUDDIN

Dari Negeri                         :           MELAKA

Tempat Kedua:

Dengan Markah                  :           95.50%

Disandang Oleh                Disandang Oleh                 :           PUTRI AMINAH BT MOHD HANIF ANUAR

Dari Negeri                         :           KELANTAN

Tempat Ketiga:

Dengan Markah                  :           94.73%

Disandang Oleh                 :           RADHIAH BT AB RAHMAN    

Dari Negeri                           :           TERENGGANU

JOHAN KESELURUHAN KATEGORI MENGHAFAZ:     NEGERI MELAKA

Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) di Dewan Seri Negeri, Melaka ini menerima sambutan yang amat memberangsangkan apabila lebih 30,000 pengunjung yang hadir samada di sebelah siang mahupun malam sepanjang ia berlangsung. Jakim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka yang telah menjadi penganjur bersama di atas persiapan fizikal, sambutan dan aturcara bagi memastikan kelancaran majlis seperti penganjuran di peringkat antarabangsa. Komitmen yang luar biasa ditunjukkan oleh YAB Ketua Menteri Melaka dengan hadir sebagai penonton pada setiap malam sepanjang tilawah berlangsung adalah wajar diberi pujian. Sokongan padu daripada masyarakat awam pula telah menunjukkan bahawa pelaksanaan majlis tilawah dan menghafaz al Quran secara tahunan ini adalah amat signifikan dan menunjukkan kejayaan kerajaan dalam memartabatkan al Quran di persada negara. Semoga usaha ini menjadi suatu ibadah dan diberkati Ilahi.

MTHQK 1

MTHQK 2

MTHQK 3

MTHQK 4

MTHQK 5

MTHQK 6

MTHQK 7

MTHQK 8

MTHQK 9

Laporan Berita Oleh : Us. Rizal SKK Jakim

Foto : En. Jamal