Kurator Berita : Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin

2-3 November 2019 : Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin telah mengadakan Program Ziarah Mahabbah MTMZA 2019 untuk bersama-sama menyelami kehidupan masyarakat luar bandar di Kampung Jipang , Pahang. Selain daripada itu, ziarah ini juga bertujuan untuk menyantuni Masyarakat Orang Asli di Kampung Ulu Sat , yang mana lokasi Kampung Ulu Sat ini terletak kira-kira 15 minit dari Kampung Jipang.

 

Antara objektif penganjuran Program Ziarah Mahabbah ini ialah untuk menyantuni masyarakat yang berada di kawasan terpencil di Pahang selain menampilkan Islam sebagai agama Rahmatan Lil ‘Alamin kepada semua bangsa khususnya kepada masyarakat Orang Asli yang berada di Kampung Ulu Sat yang masih berpegang kepada tradisi Animisme.

 

Program Ziarah Mahabbah ini telah berlangsung selama 2 hari 1 malam mulai 2 sehingga 3 November 2019 dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Jerantut . Seramai 18 orang kakitangan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang diketuai oleh Tuan Haji Nor Azamir Bin Hj Alias selaku Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin telah menyertai Program Ziarah Mahabbah 2019 MTMZA ini.

 

Rombongan Ziarah Mahabbah ini telah meninggalkan perkarangan MTMZA seawal jam 7 pagi untuk menuju ke Kampung Jipang dan telah memakan masa hampir 6 jam sebelum tiba di Kampung Jipang kira-kira jam 1.20 tengahari.

Antara program yang telah berlangsung sepanjang 2 hari tersebut termasuklah Kuliah Maghrib yang telah disampaikan oleh Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin , cabutan bertuah , sukaneka rakyat dan gotong royong menyediakan makanan untuk dinikmati oleh penduduk Kampung Jipang dan peserta Ziarah Mahabbah.

 

Pada keesokan harinya, Program Ziarah Mahabbah MTMZA 2019 diteruskan dengan lawatan ke Perkampungan Orang Asli di Kampung Ulu Sat. Dalam lawatan tersebut, Imam Besar turut menyampaikan sumbangan berbentuk hamper dan beras kepada Masyarakat Orang Asli di Kampung Ulu Sat disamping beramah mesra dengan penduduk kampung tersebut. Sesi ziarah pada hari kedua ini iaitu ke perkampungan Orang Asli bertujuan untuk merealisasikan teras ALAMI yang terkandung dalam Gagasan RAHMAH disamping mewujudkan kemesraan dan kasih sayang sesama insan bagi membina suasana hidup yang lebih harmoni dan bersatu padu.

 

Di harapkan program sebegini mampu menjadi titik perubahan membawa bangsa Malaysia ke arah merealisasikan matlamat gagasan Negara Rahmah yang hidup saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain.

10

1

11

2

3

4

5

6

7

8

9