Judul: Tadabbur Kalamullah 18 Ramadhan 1441H - Jauhi Rezeki Haram
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 18 RAMADHAN 1441H
JAUHI REZEKI HARAM
 

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُوا۟ مِمَّا فِی ٱلۡأَرۡضِ حَلَـٰلࣰا طَیِّبࣰا وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَ ٰتِ ٱلشَّیۡطَـٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوࣱّ مُّبِینٌ*


"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu" [Surah al-Baqarah 168]

Di dalam ayat ini Allah swt memerintahkan kita memandang serius beberapa perkara:
1. Makan dan minum yang halal lagi baik.
2. Jangan ikut jejak langkah syaitan.
3. Syaitan adalah musuh utama manusia.
 

Islam menuntut kepada seluruh penganutnya agar sentiasa mencari rezeki yang halal lagi baik dalam memenuhi keperluan seharian. Terlibat dengan yang halal, mendekatkan seseorang kepada taqwa dan melayakkan untuk beroleh keredhaan Allah.
Sebagai seorang muslim kita hendaklah bertaqwa kepada Allah swt dengan menghindari diri daripada terlibat dengan apa-apa pekerjaan dan pemakanan yang haram mahupun syubhah walau dengan apa cara sekalipun.
فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ
"Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubhah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Ingatlah bahawa makan yang haram menyebabkan manusia akan dihumban ke dalam neraka bersama-sama dengan syaitan. Sebab itulah syaitan berusaha bersungguh-sungguh siang dan malam tanpa henti, tanpa jemu untuk memesongkan manusia daripada jalan kebenaran agar menjadi temannya di dalam neraka. Syaitan berusaha agar kita terlibat dengan pekerjaan yang haram, beroleh rezeki yang haram dan memasukkan makanan yang haram ke dalam mulut kita dan keluarga lalu mengalirlah darah yang haram ke seluruh tubuh badan kita serta nanti akan dihumban bersamanya dalam neraka.

مَنْ نَبَتَ لَحْمُهُ مِنَ السُّحْتِ فَالنَّارُ أَوْلَى بِهِ
“Siapa yang dagingnya tumbuh dari pekerjaan yang tidak halal, maka neraka layak untuknya” (HR Ibnu Hibban dan al-Hakim)
Zaman mutakhir ini sebahagian daripada manusia telah mengabaikan keprihatinan terhadap makanan dan minuman yang diambil, begitu juga sumber pendapatan. Mereka telah terpedaya dengan hasutan syaitan. Mereka tidak lagi peduli tentang halal dan haram. Mereka pentingkan ialah asal ada duit dan asal lazat dan sedap makanan itu, tanpa mempedulikan tentang kesan-kesan yang akan dihadapinya.
Diriwayatkan oleh Sayidina Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda:
يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ، لاَ يُبَالِي الْمَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ أَمِنَ الْحَلاَلِ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ
“Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang tidak peduli apa yang dia ambil, apakah dari hasil yang halal atau yang haram.” (HR al-Bukhari)
Antara kesan buruk pengambilan makanan dan minuman yang haram:
1. Doa tidak di terima oleh Allah.
2. Hilang keberkatan hidup.
3. Dibakar di dalam neraka.
4. Hati menjadi keras.
5. Mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan.
6. Sukar untuk melakukan amal soleh.
7. Mudah untuk melakukan kejahatan dan kederhakaan.
 

Jom berdoa agar seluruh kehidupan kita sentiasa dipandu ke arah yang halal dan menjauhi yang haram.

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
“Ya Allah, limpahkanlah kecukupan kepada kami dengan rezekiMu yang halal daripada memakan harta yang Engkau haramkan, dan cukupkanlah kami dengan kemurahanMu dari mengharapkan huluran tangan selainMu.” (HR at-Tirmizi dan Ahmad)
Pastikan makanan dan minuman yang disuap ke dalam mulut kita, isteri kita, anak-anak kita dan seluruh ahli keluarga kita, ketika berbuka puasa dan di sepanjang kehidupan kita datang dari sumber yang halal serta pastikan makanan itu benar-benar halal, baik, berzat dan berkhasiat.