Judul: Tadabbur Kalamullah 21 Ramadhan 1441H - Berharap Dan Merendahkan Diri Ketika Berdoa
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 21 RAMADHAN 1441H
BERHARAP DAN MERENDAHKAN DIRI KETIKA BERDOA
 



إِنَّهُمۡ كَانُوا۟ یُسَـٰرِعُونَ فِی ٱلۡخَیۡرَ ٰ⁠تِ وَیَدۡعُونَنَا رَغَبࣰا وَرَهَبࣰاۖ وَكَانُوا۟ لَنَا خَـٰشِعِینَ

"(Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba (bersegera) dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami" [Surah al-Anbiya' 90]
Di antara adab berdoa agar diterima oleh Allah swt ialah seseorang itu perlulah berdoa dalam keadaan penuh harap, bersungguh-sungguh, dengan perasaan takut pada Allah serta penuh khusyuk (tidak lalai dan sambil lewa). Hal ini sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Rasulullah saw:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
"Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan (penuh harap). Dan ketahuilah bahawa Allah swt tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa (tidak khusyuk dan sambil lewa)" (HR at-Tirmizi)
Ayat di atas, sebelumnya menceritakan berkenaan doa dan permintaan beberapa orang para Nabi dan Rasul, antaranya:
1. Nabi Ayyub Alaihissalam berdoa kepada Allah swt agar diberikan kesembuhan kepada penyakit yang menimpanya, lalu Allah swt menerima permohonan baginda dan menyembuhkannya. (Surah al-Anbiya' 83-84).
2. Nabi Yunus Alaihissalam berdoa supaya diselamatkannya dari musibah yang menimpa dirinya saat berada di dalam perut ikan Nun, kemudian Allah memakbulkan permintaannya. (Surah al-Anbiya' 87-88)
3. Nabi Zakaria Alaihissalam berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah swt memustajabkannya dengan mengurniakan anak kepadanya yang diberi nama Nabi Yahya Alaihissalam. (Surah al-Anbiya' 89-90).
Allah swt mengatakan ketiga-tiga para Nabi ini diterima doa dan permohonan mereka kerana mereka berdoa dalam keadaan penuh harap, takut kepada Allah swt dan dalam keadaan khusyuk lagi taat kepada Allah swt.
ٱدۡعُوا۟ رَبَّكُمۡ تَضَرُّعࣰا وَخُفۡیَةًۚ إِنَّهُۥ لَا یُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِینَ
"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas" [Surah al-A'raf 55]
Tadharru’ ertinya merendahkan diri dan tunduk taat. Khufyah adalah berdoa tidak terang-terangan yakni dengan suara yang lembut (rayuan dengan penuh pengharapan).
Imam al-Hasan al-Basri rahimahullah berkata: “Mereka (orang soleh) dahulu berdoa dengan sungguh-sungguh, terdengar hanyalah suara perlahan/lembut”.
Berdoalah berungguh-sungguh kepada Allah dengan mengharapkan rahmatNya dan takut akan azabNya, dengan penuh keyakinan akan dimakbulkan, serta dengan perasaan merendahkan diri kepadaNya. Jom gandakan doa dan taubat di 10 malam terakhir Ramadhan ini.