Judul: Tadabbur Kalamullah 9 Syawal 1441H - Tiada Tuhan Selainkan Allah
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 9 SYAWAL 1441H
TIADA TUHAN SELAINKAN ALLAH
 
 
 
ٱللَّهُ لَاۤ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَۖ لَهُ ٱلۡأَسۡمَاۤءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ
 
"Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagiNyalah segala nama yang baik" [Surah Ta-Ha 8]
 
Tidak ada Tuhan yang disembah, dipuja, dimohon pertolongan, dimohon bantuan selain Allah swt. Inilah ungkapan syahadah pengakuan kita semua. Ia adalah perkara yang amat penting dan utama dalam kehidupan kita.
 
 
Allah swt memiliki nama-nama yang baik. Semua nama yang baik itu adalah khas untuk Allah swt. Perkataan al-Husna itu menunjukkan nama yang paling baik, paling mulia, paling menakjubkan dan paling indah. Allah swt memberitahu dan mengajar kepada kita semua akan nama-namaNya yang mulia. Sebagai seorang muslim yang beriman, wajib mempercayai dan beriman bahawa Allah swt bersifat dengan segala sifat-sifat kesempurnaan dan jauh daripada segala sifat kekurangan. Ini merupakan perkara atau rukun asas di dalam aqidah atau tauhid.
 
Oleh itu, berimanlah dengan segala nama dan sifatNya. Serulah nama-nama Allah yang mulia itu di dalam doa, zikir dan munajat kita.
 
 
 
وَلِلَّهِ ٱلۡأَسۡمَاۤءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ فَٱدۡعُوهُ بِهَاۖ
 
"Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-namaNya."
[Surah al-A'raf 180]
 
Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda:
 
إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلا وَاحِدًا مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ
 
"Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama, seratus kurang satu. Sesiapa yang menghitungnya, dia masuk syurga"
(HR al-Bukhari dan Muslim)
 
Berkata Imam an-Nawawi rahimahullah: "Sesungguhnya maksud hadis ini ialah jika seseorang melakukan ihsan (beriman, meyakini dan beramal) dengan 99 nama ini, maka dia akan masuk syurga".
 
 
Imam al-Khattabi dan selainnya berkata: "Bahawa Allah swt memiliki 99 nama yang apabila ada seseorang yang mengamalkannya, maka dia akan masuk syurga. Dia (Allah) memerintahkan agar berdoa dengan nama-namanya yang mulia secara mutlak".
 
 
Allah swt memiliki nama-nama yang indah dan agung serta sifat-sifatNya yang mulia dan hebat. Berimanlah serta berusaha memahami nama-nama dan sifat-sifat Allah swt kemudian beramal dengannya. Sentiasalah berdoa, menyeru dengan menyebut namaNya, agar kita sentiasa dalam rahmat, perhatian dan perlindunganNya. Aamiiin.