Judul: Tadabbur Kalamullah 11 Syawal 1441H - Beradablah Dengan Baginda SAW
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 11 SYAWAL 1441H
BERADABLAH DENGAN BAGINDA SAW
 
 
 
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَرۡفَعُوۤا۟ أَصۡوَ ٰ⁠تَكُمۡ فَوۡقَ صَوۡتِ ٱلنَّبِیِّ وَلَا تَجۡهَرُوا۟ لَهُۥ بِٱلۡقَوۡلِ كَجَهۡرِ بَعۡضِكُمۡ لِبَعۡضٍ أَن تَحۡبَطَ أَعۡمَـٰلُكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تَشۡعُرُونَ
 
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan ini) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya."
[Surah al-Hujurat 2]
 
Berkata Imam Mujahid: "Ayat ini diturunkan kepada golongan Arab Badwi Bani Tamim yang ingin bertemu Rasulullah kerana mahu memperdengarkan syair di hadapan baginda. Imam al-Baidhawi menyebut bahawa jumlah mereka sekitar 70 orang. Apabila mereka masuk ke dalam masjid Nabi, mereka memekik memanggil-manggil Nabi berulang-ulang kali dengan panggilan nama sahaja:
 
يا محمد اخرج إلينا
 
“Muhammad, keluarlah kamu bertemu dengan kami!”.
 
Berdasarkan situasi ini, Imam al-Qurtubi menerangkan: "Bahawa umat Islam ditegah memanggil baginda Nabi dengan sekadar panggilan Muhammad atau Ahmad sahaja. Mestilah menyebut Rasulullah ataupun Nabi Allah sebagai tanda penghormatan kepada baginda saw.
 
 
لَّا تَجۡعَلُوا۟ دُعَاۤءَ ٱلرَّسُولِ بَیۡنَكُمۡ كَدُعَاۤءِ بَعۡضِكُم بَعۡضࣰاۚ
 
“Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu"
[Surah an-Nur 63]
 
Perbuatan melaung-laung nama Nabi ini disifatkan sebagai tidak berakhlak dan jahil mengenai adab Islam, apatah lagi perbuatan mereka bertemu Rasulullah pada waktu tengahari, waktu lazimnya manusia beristirehat. Ingatlah bahawa umat yang mendahulukan akhlak di hadapan Rasulullah, mereka itulah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka, bahkan digolongkan di kalangan hambaNya yang bertaqwa serta beroleh keampunan dariNya.
 
"Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah (s.a.w), merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertaqwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar."
[Surah al-Hujurat 3]
 
Allah mengatakan bahawa mereka yang berteriak memanggil Nabi itu adalah jahil, tidak berilmu dan tidak beradab dengan Rasulullah saw.
 
إِنَّ ٱلَّذِینَ یُنَادُونَكَ مِن وَرَاۤءِ ٱلۡحُجُرَ ٰ⁠تِ أَكۡثَرُهُمۡ لَا یَعۡقِلُونَ
 
"Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib)."
[Surah al-Hujurat 4]
 
Yang terbaik ialah mereka sabar menunggu Rasulullah selesai berehat dan keluar dari rumah baginda.
 
"Dan kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga engkau keluar menemui mereka, tentulah cara yang demikian lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
[Surah al-Hujurat 5]
 
Sikap tidak beradab ini boleh menyebabkan mereka dihukum oleh Allah dengan azabNya, akan tetapi Allah Maha Pengampun lagi Penyayang. Allah tidak mengazab bahkan menegur mereka bertujuan untuk mentarbiyah para sahabat agar menjadi pengajaran dan tauladan kepada generasi Islam selepasnya.
 
Pastikan kita beradab bilamana berada dalam majlis yang membicarakan hadis dan apa sahaja berkaitan baginda saw. Pastikan juga tatkala menziarahi para alim ulamak hendaklah pada masa yang munasabah sehingga tidak menjejaskan waktu rehat mereka. Panggillah mereka dengan panggilan yang mulia. Hormatilah mereka kerana mereka adalah pewaris para Nabi.
As-Syahid Syed Qutb mengisahkan ada seorang ulamak bernama Abu ‘Ubaid berkata: “Aku tidak pernah mengetuk pintu rumah ulamak, tetapi aku menunggunya hingga dia keluar pada saatnya.”
 
Beradablah dengan baginda saw. Panggillah baginda dengan sebaik-baik panggilan. Banyakkan berselawat dan lazimkan diri di dalam majlis yang membicarakan tentang hadis baginda di samping kita mengamalkannya dalam kehidupan seharian.