Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah, Unit Komunikasi Korporat
Riyadh 10 Mac: Lawatan YAB Perdana Menteri ke Arab Saudi dari 6 Mac 2021 hingga 10 Mac 2021 telah membuka lembaran baru dalam kerjasama hal ehwal Islam antara Malaysia dan Arab Saudi. Kerjasama yang terjalin selama ini telah diperkukuhkan lagi dengan termeterainya Perjanjian Persefahaman (MoU) Kerjasama dalam Pengurusan Hal Ehwal Islam antara Malaysia dan Arab Saudi. Bagi kerjasama ini, Malaysia diwakili oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Arab Saudi diwakili oleh Kementerian Hal Ehwal Agama, Dakwah dan Bimbingan, Arab Saudi.
MoU ini ditandatangani oleh YB Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Luar Negeri mewakili kerajaan Malaysia dan Dr. Abdullatif bin Abdul Aziz Al Syeikh, Menteri Hal Ehwal Islam Dakwah dan Bimbingan mewakili kerajaan Arab Saudi.
MoU tersebut mengandungi 4 bidang utama iaitu, dakwah dan bimbingan, latihan dan penyelidikan akademik, masjid dan budaya Islam; dan al-Quran dan al-Sunnah. 4 bidang utama ini telah diperincikan kepada 16 inisiatif yang termasuk melaksanakan pertukaran lawatan ulama dan pakar dalam bidang hal ehwal Islam antara kedua-dua negara, pertukaran maklumat, buku, penyelidikan, penerbitan, bahan media mengenai pengajian Islam, undang-undang, informasi, penyelidikan dan kajian. Antara inisiatif lain, termasuk perkongsian kepakaran dalam pengurusan masjid dan institusi Islam, perkongsian maklumat mengenai laman sesawang dan aplikasi berunsur Islam dan bekerjasama menanggani laman sesawang dan aplikasi yang menghasut keganasan atau menghina Islam. Selain itu, MoU ini juga melibatkan kerjasama dalam bidang yang berkaitan dengan pencetakan dan penerbitan al-Quran dan al-Sunnah, perkongsian maklumat dan kepakaran mengenai tadbir urus yang berkaitan dengan pusat dan sekolah Tahfiz al-Quran dan juga perkongsian pengalaman dalam penganjuran tilawah dan hafazan al Quran.
MoU ini bermatlamat untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam antara kedua-dua negara. Ia sekaligus membolehkan kedua-dua negara berkongsi pengalaman dan kepakaran, memanfaatkan amalan terbaik serta berkongsi pengetahuan dan data demi kepentingan bersama. MoU ini akan menjadi perintis kepada kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam pengurusan hal ehwal Islam yang lebih luas pada masa akan datang.

MoU Kerjasama Pengurusan Hal Ehwal Islam antara Malaysia dan Arab Saudi 1

MoU Kerjasama Pengurusan Hal Ehwal Islam antara Malaysia dan Arab Saudi 2

MoU Kerjasama Pengurusan Hal Ehwal Islam antara Malaysia dan Arab Saudi 3