Kurator Berita : Bahagian Dakwah
4 Mac 2021, Kompleks Islam Putrajaya - Telah berlangsung Majlis Pelancaran Kit Ramah Dan Penyampaian Kerusi Roda Kepada Pesakit Hospital yang telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Dr Zulkifli bin Mohamad Al Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

KIT RAMAH yang mengandungi debu tayammum dan botol spray wudhuk yang disediakan oleh JAKIM adalah satu usaha untuk merealisasikan tanggungjawab fardhu kifayah terhadap masyarakat khususnya untuk membantu para pesakit yang menerima rawatan di hospital untuk melaksanakan kefardhuan ibadah dengan lebih mudah dan berkesan dan juga dimanfaatkan dalam urusan pengendalian jenazah covid 19 oleh petugas kesihatan.

Ini selari dengan matlamat JAKIM untuk memperkasakan lagi peranan dan fungsi institusi masjid yang bukan hanya memfokuskan kepada amalan ritual semata-mata, malah berfungsi sebagai sebuah institusi yang menjadi pusat rujukan dan khidmat kepada masyarakat. Melalui kepelbagaian aktiviti bersama dengan pihak hospital, para pesakit akan disantuni dan dibimbing tertutama dalam memahami hal ehwal berkaitan agama dan fiqh ibadah.

Antara tetamu yang hadir ke majlis ini ialah Yang Berhormat Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Abdul Aziz bin Jusoh Ketua Pengarah, JAKIM Yang Berusaha Dr. Nordin bin Ahmad Pengarah Kanan ILIM yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM dan Ustaz hashim bin Salleh Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM. Majlis ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Imam Besar Masjid Negara, Imam Besar Masjid Putra dan Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya.

Antara tetamu jemputan yang menerima KIT RAMAH dan kerusi roda bagi pihak pesakit ialah YBrs Dr. Mohd Anis bin Haron @ Harun Pengarah Institut Kanser Negara, YBrs Dr. Hj Kamaruddin bin Hj Alias Timb. Pengarah Perubatan Hospital Kuala Lumpur dan YBrs Dr Hj Muhd Siv Azhar Merican bin Abdullah Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya.

YB Menteri turut menyarankan agar institusi masjid perlu mempelbagai dan merancakkan lagi aktiviti untuk menyantuni pesakit selaras dengan matlamat untuk menyampaikan mesej dakwah kepada semua masyarakat. Di samping memperluaskan kemudahan kit ramah ini di hospital KKM di peringkat negeri, ia juga perlu diperluaskan untuk kegunaan jemaah yang mengerjakan Haji dan Umrah. Ini akan dapat dicapai melalui kolaborasi dengan pelbagai agensi lain termasuk NGO untuk menghasilkan impak yang baik dan berkesan terhadap kesejahteraan masyarakat.

YB Menteri menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua khususnya kepada pihak hospital yang sentiasa bertungkus lumus berusaha demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

Majlis Pelancaran Kit Ramah Dan Penyampaian Kerusi Roda 1

Majlis Pelancaran Kit Ramah Dan Penyampaian Kerusi Roda 2

Majlis Pelancaran Kit Ramah Dan Penyampaian Kerusi Roda 3