Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 18 Mac – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam telah mengadakan Kursus Asas Ekonomi dan Kewangan Islam secara dalam talian kepada pegawai Hal Ehwal Islam dan skim perkhidmatan yang lain dari pelbagai agensi pada 16 hingga 18 Mac 2021 bertempat di Perpustakaan ILIM, Blok Akademik B, ILIM Kampus Utama Bangi, Selangor.
 
Kursus ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman peserta mengenai pelaksanaan sistem ekonomi dan kewangan Islam dalam pengurusan ekonomi semasa sekaligus dapat menjelaskan kepada masyarakat tentang peranan dan keistimewaan ekonomi dan kewangan Islam serta pelaksanaannya. Sebelum seseorang individu menceburkan diri dalam bidang ekonomi dan kewangan yang lebih luas dan mencabar, individu tersebut perlu mengetahui asas ekonomi dan kewangan Islam terlebih dahulu. Demikian yang dinyatakan oleh Profesor Madya Dr. Nurul Aini binti Muhamed dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menyampaikan ceramah bertajuk Asas Ekonomi dan Kewangan Islam : Satu pengenalan.
 
Setelah mengetahui dan memahami asas-asas ekonomi dan kewangan Islam barulah seseorang individu itu boleh melibatkan diri dalam bidang pelaburan, pasaran modal Islam, pelaburan saham, koperasi Islam dan ar-Rahnu dan lain-lain. Demikianlah tajuk-tajuk ceramah yang telah disusun oleh ILIM mengikut modul yang ditetapkan. Penceramah-penceramah yang dijemput telah berjaya mengupas tajuk-tajuk yang diberi secara mendalam dan padat.
 
Kursus selama 3 hari ini telah dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berpengalaman dalam bidang masing-masing iaitu Profesor Madya Dr Nurul Aini binti Muhamed dari USIM, Ustaz Mohd Hafiz bin Asmani, kader JAKIM di KBS, Profesor Madya Dr Nuradli Ridhwan Shah bin Mohd Dali dari USIM, Tuan Haji Zakaria bin Mat Jusoh dari SKM Pulau Pinang dan Encik Zul Azri bin Mahat dari YaPEIM.
 
Semoga kursus ini berjaya mencapai matlamatnya bukan sahaja mampu meningkatkan kefahaman peserta mengenai asas pengurusan kewangan Islam bahkan mereka mampu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi secara berkesan.
 
Kursus Asas Ekonomi dan Kewangan Islam 1
 
Kursus Asas Ekonomi dan Kewangan Islam 2
 
Kursus Asas Ekonomi dan Kewangan Islam 3
 
Kursus Asas Ekonomi dan Kewangan Islam 4