Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:40 Syuruk : 6:58 Zohor : 1:01 Asar : 4:22 Maghrib : 6:58 Isyak : 8:11

Tanggal 4 Ogos 2018, satu sejarah telah terukir apabila Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Alhaj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah telah berangkat menyempurnakan acara perasmian program Konvensyen Kepimpinan Orang Asli Islam Peringkat Kebangsaan Tahun 2018. Konvensyen yang berlangsung dari 3 hingga 5 Ogos 2018 bertempat di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, Pahang ini turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Puan Hajah Fuziah bt Salleh.

Konvensyen Kepimpinan Orang Asli Islam Peringkat Kebangsaan adalah program dwitahunan anjuran Bahagian Dakwah JAKIM dengan kerjasama negeri-negeri. Konvensyen yang sebelum ini dikenali sebagai Simposium Kepimpinan Tok Batin/ Penghulu/ JKKK Islam Orang Asli adalah anjuran kali ke-5. Pada tahun ini, konvensyen yang bertemakan “Islam Agama Sejagat” ini dianjurkan JAKIM dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan kerjasama Yayasan Taqwa MAIWP, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Konvensyen ini bukan sahaja dapat menjadi medium perantaraan atau platform pertemuan antara kepimpinan Orang Asli Islam seluruh Malaysia dengan pimpinan tertinggi agensi-agensi kerajaan tetapi yang lebih utama ia akan menjadi satu ruang untuk pihak kerajaan berjumpa dan mendengar segala permasalahan yang timbul khususnya di perkampungan Orang Asli.

Antara pengisian program adalah tayangan video dan perkongsian ilmu daripada penceramah jemputan yang terdiri daripada YB Senator Dewan Negara (Senator Orang Asli) dan Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Selain itu, turut diadakan pameran berkaitan program dan aktiviti dakwah di perkampungan Orang Asli seluruh tanah air. Antara program menarik ialah lawatan ke Muzium Pahang dan rakaman Forum Perdana Khas yang dihadiri oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Pahang dan YAB Menteri Besar Pahang. Forum Perdana Khas bertajuk “Indahnya Islam” ini dikendalikan oleh Ustaz Mohd Hariri bin Daud dan panel-panel jemputan terdiri daripada YBhg Dato’ Haji Badlishah bin Alauddin dan YBhg Dr. Farid Ravi.

Sebagai suntikan semangat kepada para peserta, mereka juga dihidangkan dengan perkongsian pengalaman pendakwah etnik Asli di negara ini yang menceritakan pahit getir perjuangan dakwah yang ditempuh dalam mendepani cabaran berdakwah kepada masyarakat Orang Asli di negara ini. Menutup tirai program adalah pembentangan resolusi dan penyampaian sijil kepada peserta. Semoga usaha dakwah masyarakat Orang Asli dapat dipertingkatkan pada masa-masa akan datang.
 
konvensyen orang asli2018 1
 
konvensyen orang asli2018 2
 
konvensyen orang asli2018 3
 
konvensyen orang asli2018 4
 
konvensyen orang asli2018 5
 
konvensyen orang asli2018 6
 
konvensyen orang asli2018 7
 
konvensyen orang asli2018 8
 
konvensyen orang asli2018 9
 
konvensyen orang asli2018 10
 
konvensyen orang asli2018 11



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 16 November 2018.
Jumlah Pelawat :12241935