WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bahagian Dakwah melalui Cawangan Pemantapan Kefahaman Islam bersama Yayasan Taqwa MAIWP dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah berjaya menganjurkan program ziarah mega dakwah yang dinamakan Ntoi Harmoni. Program selama 3 hari 2 malam itu telah diadakan pada 6-8 Mac 2020, bertempat di Kampung Orang Asli (KOA) Dayok, Pos Lenjang, Kuala Lipis Pahang. Program ini merupakan salah satu inisiatif strategik dalam Hala Tuju Dakwah Masyarakat Orang Asli Islam Malaysia 2020-2025.
 
Program ini melibatkan penyertaan sebahagian besar warga Bahagian Dakwah JAKIM, dan turut disertai beberapa orang Pengarah Bahagian di samping wakil dari Bahagian Penyiaran dan Unit Komunikasi Korporat JAKIM. Manakala penyertaan lain melibatkan agensi dari Yayasan Taqwa MAIWP, JAIP, MUIP, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), para Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) daerah Pahang Barat dan Persatuan Daie Belantara. Tujuan utama adalah untuk memberi gambaran sebenar secara umum bagaimana usaha dakwah dijalankan di kawasan pedalaman, di samping untuk membantu masyarakat Orang Asli yang serba kekurangan daripada sudut fizikal dan material.
 
Perkampungan Orang Asli Dayok, Pos Lenjang merupakan perkampungan Orang Asli suku Semai iaitu daripada suku bangsa Senoi yang terletak di pedalaman daerah Kuala Lipis. Untuk sampai ke lokasi penempatan ini, peserta dan urus setia perlu melalui jalan berturap sejauh 24.4 kilometer dari Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Koyan dan melalui jalan tanah merah sejauh lebih kurang 30.6 kilometer. Disebabkan kampung ini terletak jauh di pedalaman dan sukar untuk diakses, kampung ini dikategorikan sebagai perkampungan pedalaman dan agak ketinggalan daripada arus permodenan.
 
Kampung ini diketuai oleh batin Kamal bin Lepin, mempunyai penduduk seramai 150 orang terdiri daripada 35 buah keluarga. Penduduk kampung ini telah mendiami rumah-rumah yang telah dibina oleh JAKOA iaitu sebanyak 15 buah (rumah batu) dan 25 buah rumah kayu/ buluh yang dibina sendiri oleh penduduk. Orang Asli Islam adalah seramai 30% daripada keseluruhan penduduk di KOA ini.
 
Majoriti penduduk Kampung Dayok bekerja memungut dan menjual hasil hutan seperti getah, buluh dan rotan. Kemudahan yang terdapat di perkampungan ini adalah surau yang dibina oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan perkampungan ini tidak mempunyai bekalan elektrik dan air yang terawat. Sebahagian penduduk hanya menggunakan generator sebagai sumber bekalan elektrik utama dan menggunakan air bukit atau air sungai sebagai sumber bekalan air utama.
 
Kemuncak program ialah penyampaian sumbangan untuk pembinaan surau di Pos Titom, hasil sumbangan jemaah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Peserta juga singgah di KOA Sop untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan. Di KOA Dayok selaku lokasi utama program, pelbagai aktiviti telah diadakan seperti pertandingan mewarna, solekan, taska mobile, explorace mahabbah, sesi ramah mesra dan karaoke, tidak ketinggalan agihan baju-baju terpakai. Istimewa program ini adalah acara syahadah 7 Orang Asli dan majlis meraikan dua pasangan pengantin. Kesemua acara mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para penduduk kampung.
 
Merasai Pengalaman Berdakwah Di Pos Lenjang 1
 
Merasai Pengalaman Berdakwah Di Pos Lenjang 2
 
Merasai Pengalaman Berdakwah Di Pos Lenjang 3
 
Merasai Pengalaman Berdakwah Di Pos Lenjang 4
 
Merasai Pengalaman Berdakwah Di Pos Lenjang 5
 
Merasai Pengalaman Berdakwah Di Pos Lenjang 6
 
Merasai Pengalaman Berdakwah Di Pos Lenjang 7
 
Merasai Pengalaman Berdakwah Di Pos Lenjang 8
 
 
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 28 Mac 2020.
Jumlah Pelawat :12392149