Judul: Tadabbur Kalamullah 30 Ramadhan 1441H - Salam Aidilfitri
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 30 RAMADHAN 1441H
SALAM AIDILFITRI
 

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk" [Surah al-Baqarah 43]
Menurut al-Imam Abu al-Husain as-Subki bahawa ayat ini dalil ijab (mewajibkan) solat ke atas semua manusia, orang beriman bahkan kepada kanak-kanak, melainkan untuk mereka adalah ta`dib (pendidikan wajib ke atas ibu bapa) sekalipun daripada sudut hukum wajib ke atas kanak-kanak itu masih belum berlaku selagi belum mumayyiz, baligh dan berakal".
Selain difardhukan solat 5 waktu, kita juga dituntut untuk melakukan solat-solat sunat sebagaimana yang telah disyariatkan. Bersempena kita berada di penghujung Ramadhan, dan InsyAllah esok akan muncul 1 Syawal dan kita dituntut untuk melakukan solat sunat Aidilfitri.
Daripada Abi Sa’id al-Khudri r.a menceritakan:
كَانَ النَّبِيُّ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إلَى الْمُصَلَّى، وَأَوَّلُ شَيْء يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاةَ، ثُمّ يَنْصَرِفُ فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ ـ وَالنَّاسُ عَلَى صُفُوفِهِمْ ـ فَيَعِظُهُمْ وَيَأْمُرُهُمْ
“Adalah Nabi saw keluar pada hari raya fitrah dan hari raya korban menuju ke tempat solat. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah menunaikan solat. Kemudian baginda akan berdiri mengadap orang ramai yang masih berada dalam saf-saf mereka lalu ia memberi peringatan dan arahan kepada mereka (menyampaikan khutbah)” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Menurut mazhab Syafie: "Bermula waktu solat sunat hari raya ialah apabila terbitnya matahari pada hari raya dan berakhir apabila tergelincir matahari dari tengah langit (yakni masuk waktu zohor). Namun waktu terbaik ialah ketika matahari telah naik dengan kadar segalah atau dua galah. Kadar segalah ialah tiga meter pada pandangan mata iaitu lebih kurang 30 minit selepas matahari terbit".
Diingatkan juga bahawa disunatkan imam menyegerakan solat hari raya korban dan melewatkan sedikit solat hari raya fitrah. Ini kerana menyegerakan solat hari raya korban dapat memanjangkan waktu bagi melaksanakan ibadah korban (kerana binatang korban sunat disembelih setelah imam selesai solat hari raya). Adapun melewatkan solat hari raya fitrah dapat memberi lebih masa kepada kaum muslimin membayar zakat fitrah (kerana zakat fitrah afdhal dikeluarkan sebelum solat hari raya).
Di dalam kitab al-Majmu' mengatakan: "Solat hari raya sunat dilakukan secara berjamaah (di masjid atau di tanah lapang) berdasarkan banyak hadis-hadis yang sahih dan masyhur serta menjadi ijmak para ulamak. Namun jika seseorang melakukan solat hari raya secara bersendirian dirumahnya atau di tempat lain, adalah sah. Jika dilakukan solat hari raya secara bersendirian, tidak perlu berkhutbah".
Diriwayatkan daripada Kathir bin ‘Abdullah yang meriwayatkan dari bapanya yang meriwayatkan dari datuknya (‘Amru bin ‘Auf al-Anshari r.a) yang menceritakan:
أن النبي صلى اللَّه عليه وآله وسلم كبر في العيدين في الأولى سبعاً قبل القراءة وفي الثانية خمساً قبل القراءة
“Sesungguhnya Nabi saw bertakbir di dalam solat dua hari raya (yakni Aidiladha dan Aidilfitri); pada rakaat pertama sebanyak tujuh kali takbir sebelum membaca Fatihah dan pada rakaat kedua sebanyak lima kali takbir sebelum membaca Fatihah”. (HR at-Tirmizi. Hasan)
Selesai solat hari raya, sunat disampaikan khutbah hari raya. Bagi sesiapa yang melaksanakan solat sunat hari raya secara berjemaah bersama ahli keluarga atau solat berdua (imam dan makmum), sama ada solat hari raya tersebut dilaksanakan di masjid, surau, musolla, tanah lapang mahupun di rumah, maka disunatkan untuk disampaikan khutbah hari raya.
Bersempena musim Covid-19, masjid-masjid dan surau-surau ditutup dan tidak diadakan solat hari raya maka marilah kita laksanakan solat hari raya di rumah masing-masing bersama kaum kelurga demi menghidupkan syiar dan sunnah berhari raya.