Kurator Berita : Bahagian Penyelidikan
9 April 2021, Melaka : Singkat namun pertemuan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) di Negeri Melaka sangat memberi impak dalam menggambarkan kerjasama utuh antara kerajaan pusat dan negeri dalam memartabatkan institusi kefatwaan di Malaysia.
 
Setelah beberapa kali bersidang secara dalam talian akibat gelombang ketiga wabak COVID-19 yang melanda negara, Melaka membuka gerbang negerinya bagi mengotakan hasrat yang pernah dimetrai sejak 2020 untuk menjadi tuan rumah bagi pelaksanaan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-119 bermula 7 hingga 9 April 2021 bertempat di Hatten Hotel, Melaka.
 
Persidangan 3 hari 2 malam ini diisi dengan pelbagai program yang telah disusun kemas hasil perbincangan bersinergi antara Bahagian Penyelidikan JAKIM, Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Negeri Melaka. Selain berbincang mengenai 5 Kertas Hukum dan 1 kertas makluman, inspirasi pelaksanaan program yang pernah dikolaborasikan bersama Kerajaan Negeri Pahang ini diteruskan dengan mengadakan Majlis Mengadap Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka serta Forum Perdana Ehwal Islam.
 
Majlis Mengadap Tuan Yang Terutama Negeri Melaka disusun rapi oleh Kerajaan Negeri Melaka bagi menemukan Jawatankuasa Muzakarah MKI bersama ketua agama negeri bersejarah tersebut. Pertemuan selama 3 jam itu digambarkan amat bermakna kerana Jawatankuasa Muzakarah MKI berpeluang untuk berdialog bersama TYT Negeri Melaka dan saling berbincang mengenai isu-isu semasa kefatwaan yang sering dibangkitkan.
 
Sekiranya di Pahang persidangan ini mencipta sejarah apabila menjadi program pertama memuatkan Siaran Langsung dan Rakaman Forum Perdana Ehwal Islam, bertepatan dengan slogan negeri Melaka “Segalanya Bermula Disini”, sekali lagi persidangan ini mencipta sejarah tersendiri apabila Forum Perdana Ehwal Islam Khas telah bersiaran selama 2 jam dengan penampilan 12 orang panel. Forum Perdana ini merupakan salah satu inisiatif Bahagian Penyelidikan dalam menterjemahkan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan melalui media massa dalam memberikan Pendidikan fatwa kepada seluruh rakyat Malaysia. Seminar peringkat kebangsaan tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara. Berdasarkan rekod, forum ini mendapat tontotan yang tinggi melalui streaming FB Live iaitu 33,682 manakala Siaran Ulangan sebanyak 6,710 tontotan. Segalanya ini dapat direalisasikan dengan kerjasama jitu antara JAKIM, Majlis Agama Islam, Jabatan Mufti Melaka, Bank Islam Malaysia Berhad serta RTM.
 
Di kesempatan ini Bahagian Penyelidikan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka atas komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan persidangan ini diadakan dengan jayanya. Melalui kejayaan program kolaborasi ini, dapat disimpulkan bahawa JAKIM sebagai badan penyelaras diperingkat pusat dan kerajaan negeri umpama aur dan tebing yang semestinya tidak dapat dipisahkan kerana saling memerlukan antara satu sama lain.
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke 119 1
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke 119 2
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke 119 3
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke 119 7
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke 119 9
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke 119 10
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke 119 11
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke 119 12
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke 119 13
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke 119 14
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke 119 15