jata negara small

KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN

”PERKEMBANGAN PEMANTAUAN BUFFET RAMADHAN SEPANJANG RAMADHAN 1431H”

 

1. Sukacitanya dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menjalankan sebanyak 96 pemeriksaan dan pemantauan terhadap pengusaha hotel dan premis-premis makanan yang menawarkan promosi sajian buffet Ramadhan dalam tempoh sebulan Ramadhan bermula pada 1 hingga 29 Ramadhan 1431H. Dari jumlah tersebut sebanyak 54 buah hotel dan 42 buah restoran telah dibuat pemeriksaan dan pemantauan oleh penguatkuasa Bahagian Hub Halal JAKIM dengan kerjasama KPDNKK dan tidak termasuk pemeriksaan dan pemantauan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam setiap negeri. Kesemua pemeriksaan tersebut telah dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur, Pahang, Selangor dan Kedah. Kesemua pemeriksaan dan pemantauan telah dilakukan terhadap hotel-hotel bertaraf 5 bintang ke bawah termasuklah hotel-hotel yang merupakan pemegang sijil halal Malaysia JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).


2. Dalam pemeriksaan tersebut, sebanyak 52% iaitu 50 premis yang menggunakan perbahasaan buffet Ramadhan telah didapati gagal memenuhi keperluan piawaian Pensijilan Halal Malaysia. 33 daripadanya adalah hotel manakala 17 daripadanya merupakan restoran. Premis-premis yang gagal mematuhi perbahasaan halal ini telah didapati menggunakan bahan yang diragui halal sekaligus menyalahgunakan perbahasaan halal.


3. Dari jumlah keseluruhan, sebanyak 46 premis yang didapati mematuhi standard halal JAKIM adalah terdiri daripada 22 buah hotel dan 24 buah restoran.


4. Tujuan pemantauan ini diadakan adalah untuk memastikan premis makanan menyediakan makanan halal yang mematuhi Standard Halal yang juga selaras dengan hukum syarak. Disamping itu, ia penting bagi memastikan semua pengusaha hotel dan premis makanan yang belum menjadi pemegang sijil halal Malaysia tidak sewenang-wenangnya menggunakan perbahasaan halal iaitu ”buffet Ramadhan”.


5. Untuk maklumat lanjut berkenaan pensijilan halal JAKIM serta senarai pemegang sijil halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM, orang ramai bolehlah melayari laman web halal JAKIM di www.halal.gov.my.

6. Atas jasa baik pihak media dalam mewar-warkan perkara ini kepada para pengusaha hotel di Malaysia khususnya dan masyarakat Malaysia amnya amatlah diharapkan dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

'BERKHIDMAT UNTUK NEGARA'


Saya yang menurut perintah, 

 

DATO’ HAJI WAN MOHAMAD BIN DATO’ SHEIKH ABDUL AZIZ

8 September 2010M
29 Ramadhan 1431H