Kurator Berita : Bahagian Pengurusan Halal

PUTRAJAYA – Misi menyantuni ummah diperkemaskan lagi melalui agenda pemerkasaan Usahawan Baitulmal MAIWP melalui penganjuran bersama Program Pengenalan dan Kesedaran Halal Malaysia. Kerjasama strategik antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pengurusan Halal bersama Baitulmal MAIWP telah berjaya membawa satu anjakan baharu dalam misi memperkasa kesedaran halal Malaysia di kalangan pengusaha Bumiputera demi meningkatkan jumlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi kategori berkenaan.

Program yang telah dilaksanakan selama tiga (3) hari bermula 22 Disember tersebut diwujudkan sebagai salah satu inisiatif serta komitmen Kerajaan bagi membantu para usahawan dalam memahami prosedur pensijilan halal agar mereka benar-benar bersedia sebelum memohon pensijilan halal Malaysia. Program ini antara lain membawa pendekatan yang cukup berhikmah bersama usahawan bumiputera yang terlibat dan secara tidak langsung memberi kesedaran terhadap nilai pensijilan halal Malaysia yang cukup "mahal" serta berharga untuk memperkasa perusahaan mereka.

Program yang dilaksanakan ini merupakan kesinambungan pernyataan hasrat yang diutarakan oleh usahawan bumiputera kepada Agensi Pembimbing iaitu pihak Baitulmal MAIWP agar mereka diberi satu platfrom untuk mengenali Pensijilan Halal Malaysia sebagai satu persiapan dan persediaan sebelum melangkah ke arah pensijilan halal Malaysia.

Md. Fadzli Md. Saad, Timbalan Pengurus, Bahagian Baitulmal MAIWP ketika ucapan alu-aluan program menyatakan bahawa bimbingan yang dilaksanakan ini menjadi suatu bukti dan komitmen Baitulmal MAIWP bersama JAKIM bagi meneruskan agenda pembangunan dan pemerkasaan halal di kalangan usahawan di peringkat nasional khususnya Usahawan Bumiputera.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Encik Bukhari Md Akhir turut merakamkan ucapan penghargaan atas kerjasama daripada pihak Baitulmal MAIWP yang telah berjaya mengumpulkan usahawan-usahawan terbabit untuk menyertai program yang diadakan ini.

Beliau turut menyatakan bahawa usaha ini juga sangat baik untuk dilaksanakan bersama agensi-agensi pembimbing usahawan agar impak yang akan diterima lebih besar selain daripada agensi-agensi ini dapat berperanan sebagai pemudah cara kepada usahawan di bawah bimbingan mereka dalam usaha memahami konteks pensijilan halal secara berkesan dan menyeluruh.

*Ikuti pelbagai aktiviti yang melibatkan Halal Malaysia di:-

http://bit.ly/FBHABHALAL
http://bit.ly/AktiviitiHabHalal
http://www.halal.gov.my/
http://www.islam.gov.my/

#YakiniHalalMalaysia
#HalalMalaysiaMenerajuiDunia
#MusaadahCovid19
#AgainstCovid19Kesedaran Halal Usahawan Baitulmal 1Kesedaran Halal Usahawan Baitulmal 2Kesedaran Halal Usahawan Baitulmal 4Kesedaran Halal Usahawan Baitulmal 5Kesedaran Halal Usahawan Baitulmal 3