Judul: Tadabbur Kalamullah 26 Ramadhan 1441H - Pakailah Pakaian Taqwa
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 26 RAMADHAN 1441H
PAKAILAH PAKAIAN TAQWA

یَـٰبَنِیۤ ءَادَمَ قَدۡ أَنزَلۡنَا عَلَیۡكُمۡ لِبَاسࣰا یُوَ ٰرِی سَوۡءَ ٰ تِكُمۡ وَرِیشࣰاۖ وَلِبَاسُ ٱلتَّقۡوَىٰ ذَ ٰلِكَ خَیۡرࣱۚ ذَ ٰلِكَ مِنۡ ءَایَـٰتِ ٱللَّهِ لَعَلَّهُمۡ یَذَّكَّرُونَ
"Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)" [Surah al-A'raf 26]
Terdapat dua jenis pakaian iaitu pakaian zahir dan pakaian batin. Pakain zahir ialah pakaian yang dipakai untuk menutup aurat dan sebagai perhiasan luaran, manakala pakaian batin ialah pakaian taqwa yakni hiasan dalaman jiwa seorang hamba Allah.
Berkata Sayidina Ali r.a: “Taqwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan, redha dengan yang sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan".
Sayidina Abdullah bin Mas’ud r.a mengatakan: “Taqwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah swt dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari”.
Pakaian taqwa tersangat penting dan perlu diberi perhatian utama oleh kita untuk dapatkannya. Taqwa disebut pakaian, kerana kadar taqwalah yang mencerminkan ukuran tinggi rendahnya martabat seorang manusia disisi Allah swt.
إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُم
"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)" [Surah al-Hujurat 13]
Bahkan tujuan utama kita berpuasa juga untuk menggapai taqwa. Dengan taqwa, puasa kita diterima dan melayakkan kita memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan iaitu pintu khas untuk orang yang berpuasa penuh ketaqwaan.
Daripada Sayidina Sahal bin Saad r.a, bahawa Nabi saw bersabda:
إِنَّ في الجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانِ يَدخُلُ مِنهُ الصَّائِمُونَ يَومَ القِيَامَةِ، لَا يَدْخُلُ مِنهُ أَحَدٌ غَيْرُهُم
"Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk" (HR Ahmad, al-Bukhari dan Muslim)
Ketahuilah bahawa pakaian taqwa merupakan bekal terbaik untuk dibawa pulang mengadap Allah swt.
وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى

“Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa” [Surah al-Baqarah 197]

Dalam kesibukan kita menyediakan pakaian zahir untuk menyambut hari raya jangan lupa menyediakan pakaian batin yakni pakaian taqwa yang tersangat-sangat penting. Berusahalah untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa dengan bersungguh-sungguh mentaatiNya dan bermati-matian menjauhi segala tegahanNya. Moga kita dimuliakan Allah dengan sifat taqwa. Aamiiin.