Judul: Tadabbur Kalamullah 5 Syawal 1441H - Al-Quran Sumber Ilmu
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 5 SYAWAL 1441H
AL-QURAN SUMBER ILMU
 
 
 
 وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَىٰهُ لَاۤ أَبۡرَحُ حَتَّىٰۤ أَبۡلُغَ مَجۡمَعَ ٱلۡبَحۡرَیۡنِ أَوۡ أَمۡضِیَ حُقُبࣰا
 
"Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: "Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun"
[Surah al-Kahfi 60]
 
Al-Quran adalah sumber inspirasi yang tidak pernah pudar bagi pengkajinya. Dalam ayat ini, Allah swt mendatangkan satu kisah mengenai Nabi Musa Alaihissalam yang sangat memberi motivasi dan inspirasi serta cukup untuk menyuntik semangat memburu ilmu, tidak hanya ke negeri China, malah sampai ke hujung dunia sekalipun.
 
Sebagai orang yang beriman dan pembaca al-Quran, sepatutnya kita terkesan dengan kisah kembara ilmu Nabi Musa Alaihissalam merentas daratan, membelah lautan dan sanggup berjalan berapa lama sekalipun semata-mata demi memperolehi ilmu.
 
 
Sebaik sahaja dimaklumkan bahawa ada seorang hamba Allah (Nabi Khidhir Alaihissalam) yang dikurniakan ilmu istimewa yang tidak dikurniakan kepadanya, Nabi Musa Alaihissalam bertekad menemuinya walau di mana ia berada hatta ditengah lautan sekalipun. Tujuannya hanyalah satu iaitu mempelajari ilmu yang ia tidak tahu.
 
فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا
 
“Lalu mereka (Nabi Musa AS dan pembantunya) mendapati seorang hamba (Khidir) dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami”
[Surah al-Kahfi 65]
 
Berkata Sheikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti rahimahullah: “Dapat difahami daripada ayat tersebut bahawa rahmat yang dimaksudkan adalah rahmat kenabian dan ilmu ladunni adalah wahyu yang diberikan kepada Khidir”
(Rujuk Adwa’ al-Bayan fi Idhoh al-Qur’an bi al-Qur’an).
 
Martabat kenabian tidak menjadikan Nabi Musa Alaihissalam besar kepala, berasa serba tahu, lalu tidak mahu mendengar atau berguru kepada sesiapa lagi. Dengan ilmu nubuwwahnya (ilmu kenabiannya), Nabi Musa Alaihissalam sebenarnya sudah cukup mulia, hebat dan unggul. Tetapi bagi pencinta ilmu, belajar adalah proses tanpa noktah. Berhenti belajar bererti memulai kebodohan.
 
 
Daripada Yahya bin Abi Kathir, dikatakan:
 
مِيرَاثُ الْعِلْمِ خَيْرٌ مِنْ مِيرَاثِ الذَّهَبِ ، وَالنَّفْسُ الصَّالِحَةُ خَيْرٌ مِنَ اللُّؤْلُؤِ ، وَلا يُسْتَطَاعُ الْعِلْمُ بِرَاحَةِ الجَسَدِ
 
"Warisan ilmu itu lebih baik daripada warisan emas, jiwa yang solehah lebih baik daripada permata lu’lu’, dan tidaklah mampu diperolehi ilmu dengan kerehatan tubuh badan". 
 
(Lihat al-Dibaj ‘ala Muslim, al-Kamil oleh Ibn ‘Adiy dan Hilyah al-Auliya’)
 
Demi memperolehi ilmu maka memerlukan kegigihan, kesungguhan dan kesabaran dalam mendapatkannya. Selain itu, untuk menambah dan memantapkan ilmu, memerlukan lidah yang banyak bertanya.
Sayidina Ibnu Abbas r.huma ketika ditanya: “Dengan apa kamu capai ilmu ini?” Beliau menjawab:
 
بِلِسَانٍ سَؤُولٍ، وَقَلْبٍ عَقُولٍ
 
“Dengan lidah yang banyak bertanya dan dari hati yang benar-benar berakal”
(Riwayat Imam Ahmad)
 
Hayatilah kisah Imam Ibn Syihab al-Zuhri dalam mendapatkan ilmu. Diriwayatkan oleh al-Ramahurmuzi bahawa Ibn Syihab tidak kekal dalam majlis mana-mana pemuda kecuali akan ditanyanya. Begitu juga orang tua juga akan ditanyanya. Dia akan datang ke rumah orang-orang Ansar sama ada orang muda atau orang tua, pasti ditanyanya. Bahkan kepada orang yang uzur lagi berusia juga akan ditanyanya (demi memperolehi ilmu)".
 
Contohilah semangat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa Alaihissalam dan generasi awal dalam menuntut, memburu ilmu dan menguasainya, seterusnya berkhidmat menyebarkannya kepada segenap lapisan masyarakat. Cintailah ilmu!