Judul: Tadabbur Kalamullah 13 Syawal 1441H - Tanda-tanda Taubat Diterima Allah
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 13 SYAWAL 1441H
TANDA-TANDA TAUBAT DITERIMA ALLAH
 
 
وَهُوَ ٱلَّذِی یَقۡبَلُ ٱلتَّوۡبَةَ عَنۡ عِبَادِهِۦ وَیَعۡفُوا۟ عَنِ ٱلسَّیِّـَٔاتِ وَیَعۡلَمُ مَا تَفۡعَلُونَ
 
"Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan".
[Surah ash-Shura 25]
 
Berkata Imam al-Qurtubi rahimahullah dalam tafsirnya: "Allah SWT pasti mengampunkan sebarang bentuk dosa iaitu dari perlakuan syirik sebelum mereka Islam. Seterusnya, Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan dari kebaikan dan kejahatan".
 
Sesiapa yang bertaubat dengan memenuhi syarat-syarat taubat, nescaya akan diterima taubatnya walau sebesar dan seburuk apapun dosa yang dilakukannya.
 
Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah r.ha, Nabi saw bersabda:
 
إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ثُمَّ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ
 
"Sesungguhnya hamba, jika dia mengakui dosanya dan kemudian dia bertaubat, nescaya Allah SWT menerima taubatnya".
(HR al-Bukhari)
 
Imam Mulla Ali al-Qari berkata mengenai maksud hadis di atas: "Iaitu seseorang yang menyedari keadaan dirinya yang berdosa, kemudian dia bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat-syaratnya seperti menyesal, meninggalkannya, berazam dan berusaha memperbaiki diri maka Allah SWT akan menerima taubatnya".
 
Di antara tanda-tanda taubat seseorang itu diterima ialah:
 
1. Jika dia sudah dapat mengawal lidahnya daripada berkata dusta, ghibah dan kata-kata yang tidak penting baginya.
2. Jika sudah tidak ada rasa hasad, dengki, iri hati terhadap semua manusia.
3. Memutuskan hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik dan bergaul dengan orang-orang yang soleh.
4. Menghentikan semua jenis maksiat dan rajin melakukan ibadat.
5. Hilang rasa bersenang-senangan dengan dunia dalam hatinya, dan selalu mengingati kesusahan hari akhirat.
6. Percaya dan yakin dengan jaminan Allah SWT dalam soal rezeki, lalu dia menyibukkan dirinya dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT.
7. Sentiasa bersiap sedia menghadapi mati dan selalu beristighfar menyesali dosa-dosanya yang lalu serta bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah kepada Tuhannya.
(Lihat Tanbih al-Ghafilin)
 
Tanda seseorang itu insaf dan menyesali segala dosa dan kesilapannya adalah dia sentiasa istiqamah dan berterusan dalam memohon taubat kepada Allah SWT sepanjang hayatnya dan berusaha memperbaiki amal ibadahnya ke arah yang sentiasa lebih baik sehingga pulang bertemu Allah SWT.