Judul: Tadabbur Kalamullah 14 Syawal 1441H - Ketaqwaan Meningkatkan Kemuliaan
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 14 SYAWAL 1441H
KETAQWAAN MENINGKATKAN KEMULIAAN
 
 
وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِیۤ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَـٰهُمۡ فِی ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَـٰهُم مِّنَ ٱلطَّیِّبَـٰتِ وَفَضَّلۡنَـٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِیرࣲ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِیلࣰا
 
"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan".
[Surah al-Isra' 70]
 
Allah SWT memuliakan seluruh anak cucu cicit Nabi Adam. Manusia merupakan di antara ciptaan Allah yang dimuliakan daripada makhluk yang lain. Kemuliaan ini mencakupi seluruh umat manusia, baik yang beriman mahupun yang kafir, dimana mereka semua telah diciptakan dalam bentuk yang paling sempurna di antara makhlukNya yang lain.
 
لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِیۤ أَحۡسَنِ تَقۡوِیمࣲ
 
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)".
[Surah at-Tin 4]
 
Berkata Imam Masjidil Haram, Syeikh Dr. Salih bin Abdullah bin Humaid: "Allah mencipta manusia dengan bentuk yang indah dan memberi keistimewaan kepada mereka dengan kemampuan untuk berbicara dan berfikir serta mengurniakan mereka dengan pelbagai makanan, minuman dan pakaian yang tidak dimiliki oleh segala jenis haiwan. Allah juga memuliakan manusia dengan memberi mereka kekuasaan ke atas makhluk-makhluk lain dan menjadikan malhluk-makhluk itu tunduk bagi memenuhi keperluan mereka. Ini menjadikan manusia lebih mulia daripada makhluk Allah yang lain".
 
Namun begitu, kemuliaan sebenar di sisi Allah ialah hanya bagi hambaNya yang benar-benar mematuhi perintah Allah dan bertaqwa. Firman Allah swt:
 
مَن كَانَ یُرِیدُ ٱلۡعِزَّةَ فَلِلَّهِ ٱلۡعِزَّةُ جَمِیعًاۚ
 
"Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan...".
[Surah Fatir 10]
 
إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ
 
"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)".
[Surah al-Hujurat 13]
 
Sabda Rasulullah saw:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘ajam (yang bukan Arab), atau ‘ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketaqwaan”.
(HR Ahmad dan al-Baihaqi)
 
Manusia adalah makhluk yang mulia berbanding makhluk yang lain. Oleh itu, kekalkan dan tingkatkan kemuliaan dengan beriman kepada Allah, mematuhi perintahNya dan menjadi insan yang bertaqwa.