Kurator Berita : Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah
Pulau Pinang, 17-18 Oktober 2018 - Seramai 150 orang Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie seluruh Malaysia telah berhimpun di Hotel Copthorne Orchid, Pulau Pinang bagi menghadiri Konvensyen Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia bagi tahun 2018. Konvensyen yang merupakan program tahunan anjuran JAKIM melalui Bahagian Penyelarasan Undang-Undang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang. Konvensyen ini merupakan satu forum untuk membincangkan isu dan permasalahan semasa yang berkaitan dengan perundangan Syariah khususnya dalam bidang penguatkuasaan dan pendakwaan Syariah. Bertemakan “Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah Mendepani Cabaran Semasa”, kertas-kertas kerja yang dibentangkan dalam Konvensyen ini mengupas isu-isu semasa dalam bidang perundangan syariah oleh pakar perundangan dan tokoh cendekiawan yang berpengalaman. Setiap isu yang dibicarakan oleh para pembentang kertas dirungkaikan berdasarkan fakta dan peruntukan undang-undang yang sedia ada serta dapat menjadi penanda aras kepada gerak kerja Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Pendakwaan Syariah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab di negeri masing-masing.
 
Sebanyak lima pembentangan kertas kerja meliputi bidang penguatkuasaan dan pendakwaan syariah telah disampaikan oleh pakar perundangan seperti berikut :

i. Tajuk : Perundangan Syariah adalah Undang-Undang Kelas Kedua di Malaysia?
Oleh : YBhg. Dato’ Haji Zainul Rijal bin Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
 
ii. Tajuk : Penguatkuasaan dan Hak Asasi Manusia
Oleh : YBhg. Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila binti Nik Saleh
Pensyarah Kanan USIM / Pesuruhjaya SUHAKAM
 
iii. Tajuk : Penguatkuasaan vs  Dosa Peribadi
Oleh : YBhg. Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah binti Ismail
Pensyarah Kanan Universiti Malaya
 
Oleh : YAA Dato’ Hj. Asa’ari bin Haji Mohd Yazid
Ketua Hakim Syarie Negeri Perak
 
v. Tajuk : Seni Kependakwaan : Syarat Bukan Pilihan
Oleh : Tuan Yusaini Amer bin Abdul Karim
Pengarah Pendakwaan Negeri
Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang
 
Ucaptama Konvensyen bertajuk Pelaksanaan Undang-undang Syariah : Cabaran Masa Kini telah disampaikan oleh Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha binti Kamaruddin, tokoh perundangan yang tidak asing lagi di Malaysia. Majlis Penutup Konvensyen pula dirasmikan oleh YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat Negeri Pulau Pinang. Turut hadir di Majlis Penutup Konvensyen ialah Tuan Haji Aziz bin Haji Mohamad mewakili JAKIM, YAA Dato’ Haji Mukhyuddin bin Haji Ibrahim, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, YBhg. Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim bin Wan Mohd Noor, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Tuan Azman bin Ismail, Ketua Pendakwa Syarie Pulau Pinang mewakili Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.
 
Timbalan Ketua Menteri 1 dalam ucapannya menyeru agar usaha berterusan dilaksanakan ke arah pemantapan struktur tadbir urus di Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah agar para pegawai mempunyai keupayaan dinamik, berdaya saing dan mampu meramal cabaran serta sedia bertindak secara berkesan. Beliau juga mengharapkan konvensyen ini akan merumuskan hasil yang boleh melonjakkan semangat, idea dan pandangan-pandangan yang dapat dijadikan pemacu kecemerlangan sistem perundangan syariah di Malaysia. Di majlis yang sama, YB Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang turut meluangkan masa menyampaikan Sijil Penyertaan kepada 18 orang peserta Program Sangkutan Pendakwa Syarie di Jabatan Peguam Negara / Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Seluruh Malaysia bagi tahun 2017. Pelancaran Program Gerak Remaja Kesedaran Pencegahan Jenayah Syariah Peringkat Negeri Pulau Pinang juga diadakan pada majlis tersebut.
 
penang 2018 7
 
Barisan pembentang kertas kerja
 
 
 
penang 2018 1
 
 YBhg. Dato' Haji Zainul Rijal membentangkan kertas kerjanya
 
 
 
 
penang 2018 9
 
Ucaptama Konvensyen oleh YBhg. Prof. Dato Sri Zaleha Kamarudin
 
 
 
penang 2018 11
 
Pembentangan rumusan konvensyen oleh YBhg. Datin Hajah Norliah Sajuri, Ketua Penolong Pengarah BPUU JAKIM
 
 
 
penang 2018 2
 
Penyampaian cenderahati kepada pembentang kertas kerja
 
 
 
penang 2018 5
 
Peserta konvensyen terdiri daripada Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie seluruh Malaysia
 
 
 
penang 2018 8
 
Ucapan Perasmian Majlis Penutup Konvensyen oleh YB Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
 
 
 
penang 2018 4
 
Penyampaian sijil kepada peserta Program Sangkutan Pendakwa Syarie
di Jabatan Peguam Negara/Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri bagi Tahun 2017
 
 
 
penang 2018 10
 
Pelancaran Program Gerak Remaja Kesedaran Pencegahan Jenayah Syariah Peringkat Negeri Pulau Pinang 
 
 
penang 2018 3
 
Penyampaian cenderahati oleh JAKIM kepada YB Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang
 
 
penang 2018 6
 
 Peserta konvensyen dan para jemputan bergambar beramai-ramai bersama YB Timbalan Ketua Menteri 1