Kurator Berita : Bahagian Dakwah

Program Kembara Ramadan (KEDARA) 2016 anjuran Jakim dengan kerjasama Kelab Motorsikal Berkuasa Tinggi 300KMJ sekali lagi berjaya diadakan pada 25 Jun 2016. Pada kali ini lokasi yang terlibat ialah di Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Sri Kundang, Rawang. Pusat yang menempatkan seramai 51 orang anak-anak yatim dan 20 orang anak miskin ini telah ditubuhkan pada 20 Mac 2013 di bawah naungan rumah ibadah Surau Al- Falah Kg. Baru Kundang. Program yang dilaksanakan ini merupakan satu langkah proaktif dan optimis yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku agensi pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan ke arah memperkasakan lagi rangkaian kerjasama secara inovatif dan strategik dengan pelbagai pihak untuk mengadakan aktiviti keagamaan kepada sasaran tertentu bagi mempertingkat dan memperkasakan lagi syiar Islam.

Atas sikap keprihatinan dan rasa kasih terhadap golongan anak yatim, Jakim selaku agensi agama di peringkat persekutuan bersama lebih kurang 100 penyertaan dalam kalangan rakan-rakan bikers PRASARANA JAGUAR RELA BIKERS TM BIKERS GBC dan lain-lain mengambil peluang menyertai acara ini sempena meraikan ketibaan bulan Ramadan al Mubarak. Turut menjayakan program ini ialah Pejabat Agama Islam Gombak (Cawangan Kuang), Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM).

Program bermula dari Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai lokasi pelepasan konvoi seramai lebih kurang 100 buah motosikal berkuasa tinggi dan disempurnakan oleh YBhg Dato’ Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim.

Sebaik sahaja tiba di Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Sri Kundang, Rawang, peserta konvoi menunaikan solat asar secara berjemaah dan disusuli tazkirah ringkas oleh YBhg Ustaz Hasril bin Saleh dari Pejabat Agama Islam Daerah Gombak (Kuang). Majlis dimulakan dengan ucapan aluan dari YBhg Ustaz Abd Rashid bin Yahaya selaku ahli Jawatankuasa Pusat Jagaan, seterusnya  ucapan dari Encik Rozal Azimin bin Ahmad selaku Pengerusi Kelab Motorsikal Berkuasa Tinggi 300KMJ dan diikuti pula dengan ucapan perasmian oleh YBhg Dato’ Haji Razali bin Shahabudin.

Bagi memeriahkan lagi suasana, anak-anak yatim ini diraikan dengan penyampaian sumbangan wang tunai dan barangan makanan oleh YBhg Dato’ Razali. Anak-anak yatim ini juga berpeluang bergambar kenang-kenangan dengan peserta Kelab Motorsikal Berkuasa Tinggi 300KMJ. Ternyata situasi ceria begitu menyerlah di wajah anak-anak ini yang sentiasa mendambakan erti sebuah kasih sayang dari masyarakat. Majlis disudahi dengan acara berbuka puasa bersama anak yatim dan juga penduduk yang berada di sekitar pusat jagaan tersebut.

KEDARA2016 00

KEDARA2016 1

KEDARA2016 1

KEDARA2016 2

KEDARA2016 3

KEDARA2016 5