Kurator Berita : Bahagian Dakwah
Putrajaya- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sekali lagi berjaya mengorak langkah mengadakan program Dakwah Jalanan kepada non-Muslim atau lebih popular dipanggil “Street Dakwah”. Program Street Dakwah yang telah diadakan pada 27 April 2019 di MRT Kajang Selangor dilihat mendapat penerimaan yang positif dalam kalangan warga bukan Islam. Program tersebut telah dijalankan dengan kerjasama badan bukan Islam (NGO) iaitu IKRAM kawasan Kajang, Hidayah Centre Foundation dan Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA).

Program yang memakan masa selama sehari ini menunjukkan hasil yang memberangsangkan apabila warga bukan Islam yang berada di sekitar Kajang tidak menolak untuk berbincang berkaitan dengan agama Islam secara lebih terbuka bersama dengan para sukarelawan . Antara input yang boleh dikongsikan semasa berkomunikasi secara santai dengan non-Muslim ialah mereka berpandangan bahawa semua agama adalah menyuruh penganutnya untuk berbuat baik sesama manusia. Adapun jika seseorang manusia itu melakukan perkara-perkara jahat yang dilarang oleh agama itu adalah kerana nafsu mereka sendiri bukanlah disebabkan oleh agama yang mereka anuti, Non-Muslim juga berpendapat bahawa adalah tidak adil jika mengaitkan keburukan yang dilakukan oleh seseorang itu kerana agama yang dianutinya mengajarkan demikian. Ini kerana secara logiknya, tidak ada agama yang suka penganutnya melakukan perkara perkara jahat.

Hasil komunikasi tersebut banyak memberi informasi yang bermanfaat kepada para sukarelawan dan juga kepada non-Muslim. Melalui komunikasi ini juga, penerangan berkaitan Islam secara tidak langsung dapat dikongsikan sedikit demi sedikit dan disebarkan dengan lebih meluas. Ini bertepatan dengan saranan yang terdapat dalam hadis Nabi S.A.W “ Sampaikan dariku walaupun sepotong ayat”

Selain itu, program berkala yang dilaksanakan oleh pihak JAKIM ini juga sekali gus berupaya melatih soft skill sukarelawan Islam agar mampu berhadapan dengan soalan-soalan cepumas daripada bukan Islam terutamanya membabitkan isu-isu sensitiviti beragama memandangkan program sebegini juga adalah medan soal jawab untuk bukan Islam memahami berkaitan agama Islam secara tidak langsung.
 
Dakwah Santai Menyantuni Non Muslim 1
 
Dakwah Santai Menyantuni Non Muslim 2
 
Dakwah Santai Menyantuni Non Muslim 3
 
Dakwah Santai Menyantuni Non Muslim 4