Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
05 Oktober 2015 -  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak telah berjaya menganjurkan Multaqa Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Peringkat  Negeri Perak bertempat di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM). Objektif utama program ini adalah  untuk memberi kefahaman dan pendedahan berkaitan prosedur nikah, cerai dan ruju’ di Malaysia  serta mempertingkatkan keberkesanan proses urusan perkahwinan orang Islam di Malaysia dan di luar negara supaya selari dengan undang-undang dan peraturan Negara.
 
Pengisian program ini dimulakan dengan sesi forum bersama Y.A.A. Tuan Asa’ari bin Hj. Mohd Yazid; Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, dengan tajuk Nikah Sindiket : Pandangan dari sudut Syara’ dan Perundangan, dengan dikendalikan oleh moderator  A.F. Ustaz Supian bin Abdul Latif, Pegawai Tadbir Agama Daerah Gerik, Perak. Pelbagai persoalan dan isu dilontarkan oleh peserta program kepada ahli panel berkaitan hukum-hukum munakahat dan permasalahan berkaitan undang-undang bagi merungkai segala persoalan semasa masyarakat Islam pada hari ini terutamanya trend sebilangan rakyat negara ini mengambil pilihan jalan pintas untuk menikmati alam rumah tangga dengan menggunakan khidmat pernikahan sindiket tanpa memikirkan risiko yang bakal ditempuhi.
 
Program diakhiri dengan majlis perasmian penutupan oleh Y.B. Dato’ Drs. Mohd Nizar bin Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Negeri Perak. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa masalah keluarga dan sosial masa kini adalah tanggungjawab bersama. Bukan tugas individu, Jabatan Agama  atau organisasi tertentu sahaja tetapi meliputi setiap peringkat, bahkan  agensi-agensi  yang terlibat perlu memainkan peranan masing-masing dalam menangani isu ini. Sebelum itu dalam ucapan alu-aluan oleh Y.Bhg Ustaz Halim bin Ahmad, Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jakim, beliau  menyampaikan ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Jabatan Agama Islam Perak atas kesudian bersama-sama Jakim menjayakan program kali ini. Beliau turut menyeru kepada peserta agar tidak jemu untuk sama-sama membina dan memperteguhkan institusi keluarga bagi mencegah gejala sosial yang agak meruncing ketika ini.  Turut serta dalam majlis perasmian penutupan ini Y.Bhg. Dato’ Haji Yusop bin Haji Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.  
 
Bersempena majlis multaqa ini, Tuan Haji Jamaharik bin Mohamad, Penolong Pendaftar Nikah dari Daerah Bagan Serai, Perak telah menerima Anugerah Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Peringkat  Negeri Perak bagi tahun 2015.
 
Nikah sindiket pilihan di hati 1
 
Nikah sindiket pilihan di hati 2
 
Nikah sindiket pilihan di hati 3
 
Nikah sindiket pilihan di hati 4
 
Nikah sindiket pilihan di hati 5
 
Nikah sindiket pilihan di hati 7
 
Nikah sindiket pilihan di hati 8
 
Nikah sindiket pilihan di hati 9