Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
 

“Sebarang pemahaman feminisme yang berpandukan kepada pemikiran Barat perlu dihentikan segera dan diperbetulkan matlamat dan arah tujunya. Masyarakat perlu membezakan antara nilai Islam dengan budaya supaya kritikan yang dibuat adalah ke atas budaya atau amalan yang tersasar dalam masyarakat Islam sekarang, bukan atas nilai yang dibawakan oleh Islam itu sendiri”.

Itu antara butiran yang disampaikan oleh YBhg. Dr. Indriyati binti Ismail; Pensyarah Kanan, Pusat Akidah dan Keamanan Global, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sewaktu membentangkan kertas kerjanya dalam Persidangan Meja Bulat Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI) Siri 1: Pemahaman Isu Semasa Liberalisme dan Feminisme baru baru ini.

Menurutnya lagi, setiap perjuangan wanita Islam dalam dunia masakini perlulah berpaksikan landasan yang betul; iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Ini kerana pemikiran yang cenderung kepada gaya hidup model wanita Barat perlu dibanteras segera sebelum merebak luas daripada menjadi trend atau kebiasaan dalam hidup seharian.

Program Persidangan Meja Bulat Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI) Siri 1: Pemahaman Isu Semasa Liberalisme dan Feminisme yang telah berlangsung pada 15 Mei 2018 di Institut Antarabangsa Tamadun dan Dunia Melayu (ISTAC), UIAM Jalan Duta, Kuala Lumpur itu adalah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti dengan kerjasama Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI) yang dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha binti Kamaruddin, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Persidangan yang diadakan ini bertujuan untuk mengenalpasti isu-isu terkini yang timbul berkaitan liberalisme dan feminisme, dan merancang kaedah yang bersesuaian untuk menjelaskan kekeliruan atau salah faham yang timbul serta penyelesaian yang tuntas terhadap isu tersebut.

Majlis yang telah dirasmikan oleh Tuan Haji Ruslan bin Said; Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim itu turut menjemput dua orang penceramah lain untuk membentangkan kertas kerja masing-masing iaitu YBhg Dr. Wan Fariza Alyati binti Wan Zakaria, Pensyarah Kanan, juga dari Pusat Akidah dan Keamanan Global, Fakulti Pengajian Islam, UKM dengan bertajuk “Hak-hak Asasi Wanita dalam Wacana Feminisme Kontemporari” serta YBrs. Ustaz Akhrun bin Musa @ Ahmad dari Jakim dengan tajuk “Liberalism dan Ancaman kepada Negara”.

ISA 5468

ISA 5412

ISA 5425

ISA 5452

ISA 5446

ISA 5459

ISA 5516

ISA 5407