Kurator Berita : Bahagian Pendidikan
KURSUS PROFESIONALISME PENYELIA KELAS AL-QURAN DAN FARDHU ‘AIN (KAFA) TAHUN 2020
 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pendidikan telah mengadakan Kursus Profesionalisme Penyelia KAFA pada 3 hingga 6 Februari 2020 bersamaan 9 hingga 12 Jamadil akhir 1441H bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi, Selangor.
 
Kursus Profesionalisme ini merupakan kursus yang wajib diikuti oleh semua penyelia KAFA lantikan JAKIM. Objektif kursus ini adalah untuk meningkatkan keupayaan, ilmu dan kemahiran dari aspek pengurusan penyeliaan KAFA, pemantauan pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyediaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang berkualiti dan pengurusan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).
 
Kumpulan sasaran program ini adalah penyelia KAFA lantikan Oktober 2019 dan Januari 2020 iaitu seramai 44 orang dari seluruh negeri. Seramai 4 orang penceramah dari Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam Bangi dijemput khas bagi menyumbang ilmu dan kepakaran dalam kursus ini.
 
Majlis Penangguhan kursus telah disempurnakan oleh YBrs.Tuan Haji Azizan bin Muhammad, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pendidikan, JAKIM. Dalam ucaptama yang telah disampaikan dalam majlis ini, para peserta turut mengambil perhatian berkaitan dengan saranan dan penegasan kepada penyelia KAFA di daerah dan negeri agar menguasai operasi kurikulum KAFA versi 2.0 dan mampu bertindak sebagai penghubung dan penyampai maklumat yang tepat kepada semua guru KAFA di bawah seliaan masing-masing. Penggunaan Buku Teks bagi murid Tahun Satu 2020 secara seragam diselaraskan oleh JAKIM dengan melantik penerbit yang menggunakan teks kandungan yang telah dihasilkan oleh pasukan penulis lantikan JAKIM.
 
Kursus Profesionalisme Penyelia KAFA 2020 1
 
Kursus Profesionalisme Penyelia KAFA 2020 2
 
Kursus Profesionalisme Penyelia KAFA 2020 3
 
Kursus Profesionalisme Penyelia KAFA 2020 4
 
Kursus Profesionalisme Penyelia KAFA 2020 5
 
Kursus Profesionalisme Penyelia KAFA 2020 6