jata negara small
 
PERUTUSAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1438H/2017M
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
 
MEMAKNAI HIDUP DENGAN AL QURAN
________________________________________________________________
 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

Alhamdulillah, marilah kita bersama menzahirkan rasa syukur kepada Allah, kerana dengan rahmat-Nya, kita masih diberi peluang menjadi tetamu Ramadan yang mulia.
 
Selawat serta Salam ke atas Penghulu segala nabi, Nabi Muhammad SAW juga kepada ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda.
Sesungguhnya Bulan Ramadan tidaklah diperkenalkan melainkan disifatkan sebagai bulan yang diturunkan al-Quran padanya. Sepertimana maksud firman Allah SWT pada ayat ke 185 Surah al-Baqarah “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran”. Ini mencadangkan kepada kita agar memberi tumpuan khusus bagi memperdalami al-Quran sepanjang Ramadan.
 
Oleh itu, sebagai umat yang diwarisi al-Quran, marilah kita bersama menghiasi Ramadan kali ini dengan bertalaqqi, bertadarrus, mentadabbur serta mengambil manfaat sebanyaknya dari Kalam Suci ini. Jadikan bulan ini sebagai bulan kita memaknai hidup dengan al-Quran.
 
Saya ingin berpesan tentang beberapa perkara antaranya berhemahlah dalam berbelanja. Saranan saya bagi mengelakkan perbelanjaan bertambah, apalah kiranya kita melazimi berbuka di masjid atau surau. Selain itu, elakkan lah dari melakukan pembaziran. Membeli hanya yang diperlukan dan lazimi bersedekah.
 
Akhirnya dikesempatan ini, ingin saya mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan 1438H kepada semua Kakitangan Jakim khususnya dan kepada Umat Islam umumnya beserta harapan semoga Ramadan kali ini kita bertambah taqwa.
 
 
Tan Sri Dato' Hj Othman bin Mustapha
Ketua Pengarah Jakim