Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
Pada 21 Julai 2020, buat julung kalinya Cawangan Dasar Perkhidmatan Hal Ehwal Islam, Bahagian Dasar Kemajuan Islam (BDKI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) telah mengaturkan satu Sesi Pertemuan Graduan Ph.D JAKIM Bersama YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bertempat di Hotel Everly, Putrajaya.

Sesi pertemuan ini telah dihadiri oleh seramai 26 daripada keseluruhan 30 orang Graduan Ph.D dari kalangan pegawai JAKIM yang berkhidmat di Ibu pejabat JAKIM Putrajaya, Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) serta Institusi Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) JAKIM iaitu Darul Quran, Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dan Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS).

Objektif pertemuan ini diadakan adalah untuk membantu mengangkat martabat JAKIM, agensi Islam yang lain serta Perkhidmatan Hal Ehwal Islam melalui budaya kesarjanaan, intelektualisme dan profesionalisme. Selain itu, ia juga bertujuan mengukuhkan usaha-usaha dalam mengangkat martabat ilmuan dan sarjana di kalangan Pegawai-Pegawai Hal Ehwal Islam di JAKIM. Usaha murni juga turut bertujuan menghasilkan cadangan berkaitan sumbangan, prospek dan masa depan graduan Ph.D JAKIM.

Pada pertemuan kali ini, Dato' Dr. Sirajuddin Bin Suhaimee, Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM mewakili Kelab Doctorate JAKIM telah diberikan ruang untuk membentangkan cadangan-cadangan berkaitan perkembangan kerjaya dan halatuju Graduan Ph.D JAKIM setelah mereka berjaya memperolehi Ph.D dalam pelbagai disiplin ilmu khususnya yang berkaitan sembilan (9) Bidang Teras Perkhidmatan Hal Ehwal Islam JAKIM.
 
Para Graduan Ph.D JAKIM juga berpeluang berkongsi buah fikiran dan idea-idea bernas berkaitan sumbangan, prospek dan masa depan graduan Ph.D JAKIM di dalam sesi Round Table Discussion (RTD) bersama YBhg. Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Setiausaha Politik kepada YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama).

Di dalam sesi ini, YBhg. Dato’ Haji Wan Mohamad turut memberi saranan agar Graduan Ph.D JAKIM dapat melihat peluang-peluang yang terbuka luas dan belum diterokai dalam pasaran semasa bagi memperluaskan sumbangan kepada pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang memerlukan kepakaran mereka secara khusus. Ini akan menaikkan imej JAKIM dan merupakan satu sumbangan besar terhadap pembangunan ummah di Malaysia.

Di dalam program ini juga, YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) telah menyampaikan amanat agar Graduan Ph.D JAKIM meningkatkan kompetensi diri supaya kekal releven dan mampu bersaing dalam arus perdana. Selain itu, besar harapan YB Menteri di JPM untuk melihat Graduan Ph.D JAKIM terus memberikan sumbangan dalam pelbagai sektor dengan membawa nama baik JAKIM dan membentuk diri agar berdiri sebaris dengan pakar-pakar ilmuan dalam disiplin ilmu yang berbeza agar profesion pengurusan Hal Ehwal Islam turut dipandang tinggi di mata masyarakat.

Pertemuan kali ini turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi JAKIM yang diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Datuk Abdul Aziz bin Jusoh yang sudi meluangkan masa hadir dan turut memberi perhatian atas hasrat dan harapan yang disampaikan oleh YB Menteri di JPM.

Diharapkan pertemuan ini akan memberikan impak yang positif dalam usaha JAKIM membangunkan kepakaran dalaman jabatan di samping menyebar luaskan sumbangan Graduan Ph.D JAKIM, seterusnya mengangkat martabat JAKIM, agensi-agensi Islam serta Perkhidmatan Hal Ehwal Islam melalui budaya kesarjanaan, intelektualisme dan profesionalisme.
 
sesi pertemuan YB menteri dan Pegawai Phd Jakim 1
 
sesi pertemuan YB menteri dan Pegawai Phd Jakim 2
 
sesi pertemuan YB menteri dan Pegawai Phd Jakim 3
 
sesi pertemuan YB menteri dan Pegawai Phd Jakim 4
 
sesi pertemuan YB menteri dan Pegawai Phd Jakim 5
 
sesi pertemuan YB menteri dan Pegawai Phd Jakim 6