Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
 

"Wanita secara tradisinya dahulu adalah isteri dan ibu, tetapi apabila berlaku perkembangan kini, peranan wanita semakin bertambah, iaitu peranan isteri dan ibu itu kekal, tetapi bertambah apabila wanita menceburi bidang kerjaya dan lain-lain penglibatan luar rumah. Justeru, amat penting kita untuk memahami isu dan cabaran wanita masa kini. Persekitaran, majikan dan dasar-dasar pemerintah itu mesti menyokong keperluan dan hak-hak wanita”…

Itu antara intipati ucapan perasmian YB Hajah Fuziah Salleh; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu Seminar Cakna Isu Semasa: Wacana Kontemporari Wanita dan Hak Asasi Manusia di Auditorium Jakim, Kompleks Islam Putrajaya pada hari Khamis 9 Ogos 2018 yang lalu.

Seminar yang dianjurkan secara bersama oleh Jakim melalui Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) serta Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI) telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran hampir 800 orang yang terdiri di kalangan lelaki dan wanita daripada kakitangan awam, ahli akademik, pelajar universiti, badan berkanun, pihak swasta dan badan bukan kerajaan Islam (NGO).

Seminar yang berbentuk wacana ini berobjektifkan kepada penyampaian pengetahuan dan maklumat yang sebenar mengenai isu-isu semasa dan kedudukan wanita islam berlandaskan syariat Islam yang sahih bersandarkan keapda aliran ahli Sunnah wa al-Jamaah. Selain perkongsian ilmiah yang bersifatkan intelektual dalam pembentukan keperibadian wanita islam sejati, program ini juga berusaha untuk melahirkan golongan wanita yang cakna dengan isu-isu semasa wanita Islam khususnya di Malaysia dan amnya di peringkat antarabangsa.

Acara yang dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu diteruskan dengan ucaptama oleh YBhg. Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha binti Kamaruddin; Pengerusi PISWI yang banyak menyentuh kekuatan wanita Islam yang bertemakan Wanita Islam: Selembut Sutera Seteguh Besi.

Manakala acara kemuncaknya apabila diskusi wacana isu kontemporari mengambil tempat dengan mengetengahkan panel yang tidak asing lagi iaitu YBrs. Dr. Wan Fariza Alyati binti Wan Zakaria dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan tajuknya Isu-isu Kontemporari Wanita Islam, YBrs. Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila binti Nik Salleh dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan tajuknya Hak dan Kebebasan Wanita serta YBrs. Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Abd. Aziz dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan tajuknya Pembelaan kepada Wanita dalam aspek Perundangan dan Perlembagaan. Wacana ini telah dikendalikan oleh YBhg. Datin Hajah Norliah binti Sajuri dari Jakim sebagai moderatornya.

Diharapkan agar program sebegini akan berterusan bagi memastikan penyampaian dakwah itu semakin berkembang luas ke semua peringkat masyarakat akar umbi tanpa sebarang prasangka dan prejudis.

 

DSC 9932

DSC 9917

DSC 9919

DSC 9957

DSC 9962

DSC 9972

DSC 9994