Judul: Tadabbur Kalamullah 12 Ramadhan 1441H - Zakat Menyucikan Diri Dan Harta
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 12 RAMADHAN 1441H
ZAKAT MENYUCIKAN DIRI DAN HARTA

وَأَقِیمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَمَا تُقَدِّمُوا۟ لِأَنفُسِكُم مِّنۡ خَیۡرࣲ تَجِدُوهُ عِندَ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِیرࣱ
"Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan" [Surah al-Baqarah 110]
Diantara ibadah yang menjana taqwa di bulan Ramadhan yang mulia ini ialah mengeluarkan zakat khususnya zakat fitrah.
Mengeluarkan zakat adalah wajib berdasarkan dalil al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak ulamak. Ia merupakan salah satu dari rukun Islam yang lima. Mengabaikan zakat adalah dosa besar. Mengingkari kewajipannya akan menyebabkan seseorang muslim itu murtad dari agama.
Menurut Imam Ibnu al-Munzir: “Telah menjadi ijmak para ulamak bahawa zakat fitrah hukumnya adalah wajib. Walaupun tidak dinafikan ada segelintir ulamak berpandangan bahawa zakat Fitrah adalah sunnah, namun menurut Imam an-Nawawi dalam Raudhatu at-Thalibin, pandangan mereka ini adalah syaz dan munkar.
Di antara keutamaan dan ganjaran orang yang membayar zakat ialah:
1. Diampuni dosa (HR at-Tirmizi)
2. Memadamkan kemurkaan Allah (HR at-Tirmizi)
3. Penyebab turunnya banyak kebaikan/rahmat (HR Ibnu Majah)
4. Menyuburkan harta (HR Muslim)
5. Beroleh naungan daripada kepanasan di mahsyar (HR Ahmad)
6. Penyebab masuk syurga (HR at-Tirmizi)
7. Menjadikan iman sempurna (HR al-Bukhari dan Muslim)
8. Mencegah daripada mati dalam keadaan hina (HR at-Tirmizi)
9. Menunjukkan benarnya iman seseorang
10. Memadam kemarahan orang miskin
11. Mengukuhkan kesatuan Islam (keluarga besar, saling tolong menolong)
12. Menyempurnakan keIslaman seseorang hamba 
13. Menghindari kebinasaan harta
Imam at-Thabrani meriwayatkan dari Sayidina Jabir r.a menceritakan: Seorang lelaki bertanya Rasulullah saw: "Ya Rasulullah, apa yang akan diperolehi jika seorang itu menunaikan zakat hartanya?. Jawab Rasulullah saw:
من أدى زكاة ماله فقد ذهب عنه شره
“Sesiapa yang menunaikan zakat hartanya nescaya ia akan selamat dari akibat buruk harta (atau akan hilang sifat jahat dari dirinya)”. (lihat al-Fiqhul Wadhih)
Maksud hadis ini ialah: "Orang yang menunaikan zakat ke atas hartanya ia akan selamat dari akibat buruk harta kerana harta ada kebaikan dan ada keburukannya. Adakalanya harta memberi manfaat kepada manusia dan adakalanya mendatangkan kecelakaan. Atau yang dimaksudkan ialah akan hilang sifat jahat pada diri iaitu bakhil, kedekut dan sebagainya" (Lihat al-Fiqhul Wadhih).
Jom bayar zakat harta dan zakat fitrah. Semoga Allah swt menyucikan dan membersihkan dosa-dosa kita yang zahir batin.
JOM BAYAR ZAKAT!!