Judul: Tadabbur Kalamullah 29 Ramadhan 1441H - Ramadhan Yang Dirindui
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 29 RAMADHAN 1441H
RAMADHAN YANG DIRINDUI

وَٱعۡبُدۡ رَبَّكَ حَتَّىٰ یَأۡتِیَكَ ٱلۡیَقِینُ
"Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin (kematian)" [Surah al-Hijr 99]
Kita diperintahkan untuk beribadah, melakukan ketaatan dan menyembah Allah swt sehinggalah datangnya kematian. Ketaatan dan beramal soleh tiada masa penamatnya melainkan setelah datangnya ajal. Walau apapun yang berlaku, kita perlu istiqamah dalam melakukan ketaatan, kebaikan dan kebajikan serta amal soleh.
Bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan sangat dirindukan oleh orang yang beriman dan orang soleh. Para ulamak dan orang soleh sangat merindukan Ramadhan. Berkata Imam Ibnu Rajab al-Hambali rahimahullah:

ﻗَﺎﻝَ ﺑَﻌْﺾُ ﺍﻟﺴَّﻠَﻒُ : ﻛَﺎﻧُﻮْﺍ ﻳَﺪْﻋُﻮْﻥَ ﺍﻟﻠﻪَ ﺳِﺘَّﺔَ ﺃَﺷْﻬُﺮٍ ﺃَﻥْ ﻳُﺒَﻠِّﻐَﻬُﻢْ ﺷَﻬْﺮَ ﺭَﻣَﻀَﺎﻥَ، ﺛُﻢَّ ﻳَﺪْﻋُﻮْﻧَﺎﻟﻠﻪَ ﺳِﺘَّﺔَ ﺃَﺷْﻬُﺮٍ ﺃَﻥْ ﻳَﺘَﻘَﺒَّﻠَﻪُ ﻣِﻨْﻬُﻢْ
Sebahagian salaf berkata: “Dahulu mereka (para salaf) berdoa kepada Allah selama 6 bulan agar mereka dipertemukan dengan bulan Ramadhan. Kemudian mereka juga berdoa selama 6 bulan agar Allah menerima amalan mereka (yang dilakukan di bulan Ramadhan)”.
Tatkala Ramadhan sudah berada di penghujungnya dan perlu  berpisah dengan Ramadhan, tentu orang yang beriman dan orang-orang soleh akan terasa pemergiannya. Kehilangan rasa bahagia dan gembira yang tidak dapat digantikan dengan nikmat didunia ini. Tidak sedikit para ulamak dan orang soleh yang mengungkapkan kesedihan dan tangisan kerana perpisahan dengan Ramadhan.
Berkata Imam Ibnu Rajab al-Hambali rahimahullah: "Bagaimana dapat seorang mukmin tidak menitis air mata ketika berpisah dengan Ramadhan, sedangkan ia tidak tahu apakah masih ada sisa umurnya untuk berjumpa lagi. Hati orang-orang yang bertaqwa mencintai bulan ini, dan bersedih kerana pedihnya berpisah dengannya. Wahai bulan Ramadhan, mendekatlah, berderai air mata para pencintamu, pecah hati mereka kerana peritnya berpisah denganmu. Semoga perpisahan ini mampu memadamkan api kerinduan yang membakar. Semoga masa bertaubat dan berhenti berbuat dosa mampu memperbaiki puasa yang ada bocornya. Semoga yang terputus dari rombongan orang yang diterima amalannya dapat menyusul. Semoga tawanan dosa-dosa dapat dilepaskan (dihapuskan). Semoga orang yang seharusnya masuk neraka dapat dibebaskan. Dan semoga rahmat Allah bagi pelaku maksiat akan menjadi hidayah taufik" (Lathaif al-Ma'arif)
Sesedih manapun kita dengan perpisahan ini, bukanlah perpisahan yang sebenar-benarnya kerana kita masih hidup dan amal ketaatan wajib diteruskan. Yang paling penting adalah bagaimana kita perlu tetap istiqamah setelah Ramadhan dan tetap beramal sebagaimana amalan yang kita lakukan di bulan Ramadhan.
Jangan sesekali kita tergolong dalam kalangan manusia yang beramal dan kenal Allah hanya di bulan Ramadhan sahaja. Selepas Ramadhan dan bulan-bulan berikutnya kita mula meninggalkan amal ibadah dan lalai dalam mentaati Allah swt.
Ibunda, Sayidatina ‘Aisyah r.ha berkata:
كَانَ أَحَبُّ العَمَلِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الَّذِي يَدُومُ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ
“Amalan yang paling dicintai oleh Rasulullah saw adalah yang dikerjakan secara terus menerus oleh pelakunya” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Teruskan beramal selagi hayat dikandung badan. Semoga kita sentiasa istiqamah dan sentiasa bersemangat dalam melakukan ketaatan, kebaikan, kebajikan dan amal soleh. Berdoalah agar dipanjangkan umur dan dapat bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun hadapan.