LOGO JAKIM small
 
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
 
JAKIM PRIHATIN BANTU INSTITUSI PONDOK

Bil.12/2021
 
  1. JAKIM ingin memaklumkan bahawa, institusi pondok yang terdapat di negara ini tidak pernah diabaikan malah sentiasa mendapat perhatian pihak kerajaan.

  2. Keprihatinan ini dapat dilihat melalui peruntukan bajet pada setiap tahun yang disediakan khusus oleh pihak kerajaan melalui JAKIM untuk meningkatkan institusi pondok di Negara ini.

  3. Pada tahun ini, bagi memastikan 275 buah institusi pondok yang berdaftar kekal dan semakin kondusif, kerajaan menyediakan peruntukan one-off sebanyak RM100 juta termasuk institusi tahfiz serta Sekolah Agama yang berdaftar. Manakala pada tahun 2017 dan 2018 sebanyak RM50 juta diperuntukan untuk institusi pondok sahaja serta RM25 juta bagi tahun 2019 dan 2020 bagi institusi tersebut.

  4. Sebagaimana yang kita maklum, pihak Kerajaan turut menyediakan peruntukan tahun 2021 sebanyak RM29 juta melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk program TVET bagi pelajar pondok dan tahfiz antaranya inisiatif Pendidikan Islam dan pembelajaran sepanjang hayat. Bantuan Awal Persekolahan secara one-off setiap tahun bagi pelajar di institusi pondok berdaftar dalam kalangan pendapatan isi rumah RM3,000.00 ke bawah melalui Kementerian Pendidikan Malaysia juga turut disediakan.

  5. Selain itu, melalui inisiatif Tabung Musaadah COVID-19 yang diwujudkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta digerakkan bersama oleh agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri, lebih RM400 ribu telah disumbangkan kepada 33 buah pondok yang terjejas sepanjang pandemik COVID-19 di seluruh negara. Usaha ini sedang diteruskan dari semasa ke semasa.

  6. Inisiatif-inisiatif yang dilakukan ini menjadi bukti bahawa pihak kerajaan tidak pernah mengabaikan sistem pendidikan pondok di negara ini sebagaimana anggapan segellintir pihak, malah kerajaan sentiasa berusaha mengangkat martabat pondok ke suatu tahap yang lebih baik.

 
Sekian.
 
“PRIHATIN RAKYAT : DARURAT MEMERANGI COVID-19”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
 
Saya yang menjalankan amanah,
 
(ZAKARIA BIN OTHMAN)
Ketua Unit Komunikasi Korporat
b.p Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
21 April 2021