Kurator Berita : Bahagian Pengurusan Halal
PUTRAJAYA - Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia disaran untuk tampil ke hadapan serta mempersiapkan diri ke arah Pensijilan Halal Malaysia bagi merebut peluang keemasan melalui program BizRace kerjasama antara JAKIM dan AmBank Islamik yang akan diadakan bermula pada tahun ini.

Zuraini Yahaya, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM ketika berucap dalam sesi forum yang diadakan pada 07 Ogos lalu telah mengulas bahawa melalui sokongan Kerajaan, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dapat berkembang dengan lebih baik dan meluas bukan sahaja di dalam negara malah diterima oleh industri luar negara. Oleh yang demikian, peluang sebegini perlu dimanfaatkan oleh usahawan PKS dalam membantu perusahaan mereka melonjak dengan lebih meluas ke pasaran antarabangsa melalui Halal Malaysia.

Beliau juga turut meyakinkan usahawan PKS agar komited dan tidak gentar untuk melalui prosedur Pensijilan Halal Malaysia yang bersifat ‘straight forward’, tambahan pada masa kini telah melalui proses harmonisasi yang bersifat strategik.
Menurut beliau, “Evolusi ini tidak lain tidak bukan memudahkan pemohon dan tidak mengelirukan mereka untuk memohon SPHM kerana proses permohonan pada masa ini telah ditambahbaik dengan cara mengharmonisasikan prosedur sedia ada berdasarkan satu standard halal yang sama dan diterima secara global.”

Bertepatan dengan program BizRace yang sedang berlangsung ini, ia sekaligus membuktikan pensijilan halal Malaysia mampu menjana satu ekosistem yang paling lengkap merangkumi keseluruhan rantaian perniagaan yang terbentuk secara bersepadu seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat melalui penglibatan industri pelbagai sektor ekonomi.

Tambah Zuraini, kerjasam antara JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri serta sokongan daripada Agensi Pembimbing Usahawan di peringkat kementerian dan negeri-negeri seluruh Malaysia adalah kunci utama bagaimana JAKIM membuat penyeragaman dari aspek pengoperasiannya serta pelaksanaan prosedur yang dibangunkan. Perkara ini amat penting untuk membantu usahawan IKS khususnya dalam konteks menambah nilai terhadap produk atau perkhidmatan mereka melalui sokongan serta galakan melalui “hands on training” juga suntikan kesedaran untuk memiliki SPHM.”

Untuk rekod, BizRace telah memasuki Musim Ketiga penganjurannya oleh Ambank Islamik dengan kerjasama JAKIM dan beberapa agensi lain di peringkat persekutuan untuk membolehkan produk atau perkhidmatan yang dihasilkan PKS memperolehi pensijilan halal Malaysia seterusnya membuka ruang pasaran merentasi negara. Enam (6) slot Halal Quest melalui platform atas talian telah disediakan sebagai persiapan awal para peserta untuk memahami ekosistem Pensijilan Halal Malaysia agar ia boleh dimanfaatkan untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh Ambank Islamik pada tahun ini. Bakal peserta boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui pautan https://ambankbizclub.com/events/Pages/BizRACE.aspx

#YakiniHalalMalaysia
#HalalConnectingTheWorld
#HalalMalaysiaHaveFaith
#StayAtHome
#MusaadahCovid19
#AgainstCovid19

JAKIM AMBANK Conference 1JAKIM AMBANK Conference 2JAKIM AMBANK Conference 3JAKIM AMBANK Conference 4