Kurator Berita : Bahagian Dakwah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Dakwah dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Institut Darul Ehsan (IDE), TV Alhijrah dan Kolej Dar al-Hikmah (KDH) telah menganjurkan Majlis Syarahan Perdana Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun 1440H/2018M. Program ini telah berjaya diadakan pada 4 September 2018 (Khamis) bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor Darul Ehsan.

Objektif majlis ini diadakan bagi memperkenalkan tokoh Ma’al Hijrah kepada umum, memupuk budaya ilmu di kalangan pegawai perkhidmatan awam melalui lontaran idea, nasihat dan pengalaman tokoh Ma’al Hijrah serta menyemarakkan agenda Rahmatan Lil Alamin melalui wacana ilmiah, membumikan fikrah fiqh malazi dan maqasid syariah.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Dr. Mujahid bin Yusof. YBhg. Prof. Dato’ Dr. Siddiq bin Fadzil selaku penerima anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M telah menyampaikan syarahannya yang bertajuk Hijrah Ke Malaysia Baharu: Mencari Makna Di Balik Kata. Antara intipati syarahan beliau adalah:

 “Dalam membangunkan Malaysia Baharu, yang paling kritikal adalah manusia dan budayanya. Seharusnya menjadi agenda utama Malaysia Baharu ialah transformasi kemanusiaan dan kebudayaan (human and cultural transformation). Malaysia Baharu harus melaksanakan agenda transformasi kemanusiaan dan kebudayaan dengan objektif membina jiwa dan minda baharu.

 “Segala harapan tersebut hanya akan dapat direalisasikan dengan menegakkan moral bangsa berasaskan nilai-nilai agama dan budaya. Malaysia Baharu harus benar-benar suatu departure, suatu anjakan mendasar dari era sebelumnya, era yang tercedera dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, pelanggaran hak asasi manusia dan keruntuhan nilai-nilai moral.”

Pada majlis ini juga YB Dato’ Dr. Mujahid bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah melancarkan Tabung Bencana Alam yang bertujuan untuk mengumpul dana kutipan daripada orang ramai bagi membantu meringankan beban mereka-mereka yang ditimpa bencana. Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan bin Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL dan YAA Dato' Haji Mukhyuddin bin Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Majlis ini telah juga turut menarik minat seramai 700 orang peserta yang terdiri daripada ketua-ketua, wakil-wakil agensi kerajaan dan orang awam.
 
 
syarahan tokoh maal hijrah 2018 8
 
syarahan tokoh maal hijrah 2018 1
 
syarahan tokoh maal hijrah 2018 6
 
syarahan tokoh maal hijrah 2018 3
 
syarahan tokoh maal hijrah 2018 10
 
syarahan tokoh maal hijrah 2018 2
 
syarahan tokoh maal hijrah 2018 11
 
syarahan tokoh maal hijrah 2018 4
 
syarahan tokoh maal hijrah 2018 5
 
syarahan tokoh maal hijrah 2018 7
 
syarahan tokoh maal hijrah 2018 9
 
syarahan tokoh maal hijrah 2018 12
 
syarahan tokoh maal hijrah 2018 13
 
syarahan tokoh maal hijrah 2018 14