Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah, Unit Komunikasi Korporat
JAKIM, MAIWP dan JAWI pada awal pagi ini telah meraikan 12 orang muallaf dari kaum Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM500 sumbangan MAIWP dan bantuan barang keperluan asas bernilai RM100 pula disumbangkan oleh JAWI (JAWI Food Bank).

Sumbangan tersebut telah disampaikan sendiri oleh YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) di Kompleks Islam Putrajaya. Semoga saudara-saudara seIslam kita ini dapat menyambut Tahun Baharu Cina tahun ini dengan hati yang gembira dan juga diharapkan hubungan antara pelbagai kaum di negara ini akan terus kukuh.

Menurut YB Menteri, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memperuntukkan sehingga RM2 juta melalui Program Musa’adah Covid-19 bagi menyalurkan bantuan kepada 4000 orang golongan asnaf mualaf di Wilayah Persekutuan. Bantuan kepada muallaf ini tidak terbatas kepada mualaf Cina sahaja sempena Tahun Baharu Cina kali ini, namun mualaf lain juga dibantu di sepanjang tahun ini. Hadir sama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Haji Akbar Bin Haji Samon dan Pengarah JAWI, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail.

Sesungguhnya perbezaan Islam dan bukan Islam bukan terletak kepada bangsa. Ia tergantung kepada akidah yang dipegang, ibadah yang dilakukan, syariah yang diamalkan dan akhlak yang ditampilkan.

Saudara Baru Kaum Cina Diraikan 1

Saudara Baru Kaum Cina Diraikan 2