LATAR BELAKANG

Pada tahun 1968 persidangan Majlis Raja-Raja Melayu telah memutuskan bahawa perlunya badan bagi menggembleng usaha pembangunan dan kemajuan umat Islam di Malaysia, selaras dengan taraf negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang semakin kukuh serta mendapat perhatian dunia antarabangsa.

Menyedari hakikat ini, satu urus setia kepada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Malaysia telah ditubuhkan bagi memelihara kesucian akidah dan ajaran Islam. Urus setia ini kemudiannya telah dikembangkan sebagai Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri yang kemudiannya dinaiktaraf sekali lagi menjadi Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS).

Untuk memudahkan kerja-kerja dan fungsi BAHEIS agar lebih berkesan dalam bidang informasi dakwah Islamiah, kerajaan memutuskan satu Unit Penyiaran ditubuhkan di bawah kawalan Cawangan Dakwah BAHEIS. Akhirnya pada 1 Jun 1994, kerajaan (kabinet) mengarahkan dua (2) Unit Penyiaran di RTM (Unit Dakwah Radio dan Unit Dakwah TV) dipindahkan ke BAHEIS. Kedua-dua unit ini kemudiannya digabungkan menjadi satu dan dinamakan Unit Dakwah Radio dan TV atau ringkasnya UDRTV.

Pada 1 Januari 1997, selaras dengan usaha kerajaan untuk menaikkan taraf pentadbiran syariah di peringkat kebangsaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ditubuhkan bagi mengambil alih kuasa dan peranan BAHEIS. Unit Dakwah Radio dan TV (UDRTV) pula ditukarkan nama kepada Bahagian Penyiaran JAKIM @ Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran atau ringkasnya MEP. Selepas 14 tahun, pada tahun 2010, nama bahagian ini ditukar kepada Bahagian Media. Bagaimanapun, selaras dengan “redeployment” JAKIM pada 01 Disember 2018, bahagian ini diberikan nama baru yang lebih selari dengan tanggungjawabnya iaitu Bahagian Penyiaran. Bahagian Penyiaran JAKIM diberi tanggungjawab untuk menerbitkan program keagamaan TV dan Radio untuk disiarkan di saluran TV dan saluran Radio RTM.

Selain dari itu, Bahagian Penyiaran juga mempunyai saluran radio sendiri yang diberi nama Salam FM. Diwujudkan pada 15 Februari 2009, Salam FM bersiaran menerusi konti Asyik FM di Wisma Radio, Angkasapuri, Kuala Lumpur. Bersandarkan tagline Menjana Minda Ummah, Salam FM menemui pendengar bermula jam 11.00 malam hingga 8.00 pagi pada setiap hari di frekuensi 91.1 FM.