Kehangatan sambutan Tahun Baru Cina masih terasa. Tidak seperti tahun-tahun lalu, pada tahun ini ia diraikan dengan cara bersederhana tetapi meriah, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. Sudah tentu sambutan kali ini akan menjadi kenangan yang paling diingati kerana ia dirai dalam norma baharu. Selain sambutan bersama ahli keluarga, masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama turut mengucapkan selamat, menyediakan juadah sambutan Tahun Baru Cina dan bertukar-tukar makanan antara jiran tetangga. Malah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tidak ketinggalan mengadakan Sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina Norma Baharu 2021 secara maya.

Amalan sambutan perayaan pelbagai bangsa seumpama ini sudah menjadi kelaziman di Malaysia. Ia menunjukkan keharmonian hidup berbilang bangsa masih utuh setelah sekian lama ia berpasak di negara ini. Kita beruntung kerana negara ini mengangkat ajaran Islam sebagai kerangka pentadbiran yang holistik. Ini kerana Islam menyediakan panduan menyeluruh untuk satu ekosistem kehidupan majmuk dan dinamik. Islam tidak wujud khusus untuk kaum tertentu, tetapi Islam membawa rahmat ke sekelian alam baik manusia, flora mahupun fauna; baik lelaki mahupun perempuan; baik Melayu, Cina atau India, semuanya tidak tersisih malah sama-sama bernaung di bawah rahmat-Nya.

Tidak dapat dinafikan terdapat isu yang boleh mencetuskan perbahalan antara kaum. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula manusia dengan pelbagai latar belakang pegangan, budaya dan pendidikan. Namun kematangan pemikiran hendaklah mengatasi kerakusan nafsu.

Kematangan dalam menimbang baik dan buruk adalah antara intipati imbangan maslahah dalam Islam. Ia merupakan salah satu daripada prinsip keharmonian sejagat yang diperkenalkan oleh Sheikh Abdullah bin Bayyah, seorang tokoh yang dinobatkan sebagai Duta Keamanan dan Kebebasan Beragama oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan juga penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 2019. Neraca pertimbangan maslahah hendaklah berteraskan syarak kerana sumbernya datang daripada Allah SWT, Tuhan untuk semua. Natijahnya, pertimbangan syarak tidak berat sebelah dan cenderung kepada kelompok tertentu sehingga meminggirkan kelompok yang lain. Semuanya pada taraf yang sama di sisi Allah. Berbeza dengan pertimbangan akal dan hawa nafsu semata-mata, ia mudah terpengaruh dengan sesuatu keadaan dan terhad kepada pengetahuan yang sempit.

Menyedari kemajmukan rakyat Malaysia, kita tidak boleh bersifat narsisime terhadap kelebihan diri dan satu-satu kelompok apatah lagi bersifat cauvinis. Ia menghalang perpaduan antara kaum malah meminggirkan semangat perpaduan yang diterapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sheikh Abdullah bin Bayyah juga menekankan dua prinsip lain iaitu kepentingan hubungan kewarganegaraan dan berpegang kepada sebarang bentuk perjanjian yang menaungi kewarganegaraan tersebut. Sandaran pandangannya jelas.

Terdapat nas-nas al-Quran yang menuntut umat Islam supaya sentiasa berpegang dengan janji. Allah SWT mengingatkan orang-orang beriman dalam ayat pertama Surah al-Maidah, iaitu sebuah surah yang banyak memperincikan konsep interaksi sosial, agar menyempurnakan perjanjian. Dari aspek kenegaraan, perlembagaan adalah satu bentuk perjanjian bagi warganegara yang mendiami sesebuah negara. Begitulah juga bagi individu yang melaksanakan tanggungjawab dan menuntut haknya di Malaysia adalah individu yang diiktriraf melalui Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai timbal balik, setiap warganegara perlu menghormati dan memenuhi tuntutan dalam Perlembagaan tersebut. Dalam Surah al-Nahl, ayat 91 dinyatakan dengan maksudnya, “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu mencabuli sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah).”

Di samping itu, bersikap adil merupakan prinsip yang perlu dijunjung dan dilaksanakan dalam mengurus kepelbagaian pandangan di kalangan masyarakat. Seringkali berlaku ketidakadilan jika wujud sifat berlebihan untuk mempertahankan sesuatu kelompok. Namun, nas kelapan dalam surah al-Maidah mengingatkan agar, “…jangan sesekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan...” Oleh itu bersikap berat sebelah demi kepentingan atau kehendak sesuatu kaum hendaklah dielakkan, tetapi perlu berlapang dada mengambil jalan yang memberikan kebaikan selaras tuntutan syarak.

Doktrin Islam menyumbang kepada prinsip persaudaraan antara kaum apatah lagi dalam kalangan orang mukmin itu sendiri sesuai maksud Surah al-Hujurat ayat 10. Hubungan antara kaum juga diikat dengan ciri saling kebergantungan antara satu sama lain dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, pendidikan dan sosial. Ia juga membawa kepada pemahaman terhadap prinsip insaniyyah (kemanusiaan) yang menjadikan manusia lebih bersifat penyayang, mempunyai rasa kekitaan sekaligus membuang jauh kebencian, rasa iri dan diskriminasi.

Kita telah menyaksikan bagaimana insiden kematian seorang lelaki kulit hitam bernama George Floyd di Amerika Syarikat telah membangkitkan kemarahan dan protes rakyatnya di seluruh negara. Dianggarkan jutaan penduduk dari pelbagai ceruk menyertai perhimpunan yang dianjurkan oleh ‘Black Lives Matter’. Ironinya, perhimpunan yang dianggap tercetus atas dasar perkauman bertukar menjadi perhimpunan solidariti apabila sebahagian besar peserta terdiri daripada kalangan mereka yang berkulit putih. Ia menjadi bukti sifat kemanusiaan adalah fitrah yang mengatasi perbezaan bangsa dan budaya.

Hakikat kehidupan majmuk pelbagai bangsa dan agama dalam satu-satu kawasan tidak lagi dapat dinafikan. Sudah menjadi lumrah di serata dunia, kemajmukan wujud di mana-mana. Malah ia menjadi suatu keunikan di Malaysia. Kepentingan hubungan antara etnik dan kaum sering diketengahkan demi menjaga keharmonian negara. Perpaduan tidak mustahil. Tetapi ia memerlukan kebijaksanaan dalam mengurus kepelbagaian dalam kehidupan bermasyarakat. Kesan pengurusan yang efektif akan dapat dinikmati jika ia dilaksanakan atas dasar syariat Islam sebagai agama untuk semua.

Disediakan oleh,

Taqwa binti Zabidi
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Maqasid Syariah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia