Berada dalam 10 malam pertama di bulan Zulhijjah adalah satu nikmat besar. Ia mempunyai kelebihan di sisi Allah sepertimana yang disebutkan dalam surah al-Fajr, ayat 2. Bulan Zulhijjah bulan terakhir dalam kalendar hijrah. Namun ibadah tidak berakhir dengan penghujungnya kalendar. Semakin mendekati hari kesepuluh, semakin rancak ibadahnya. Malah terdapat tiga hari kebesaran menyusul iaitu hari Arafah, hari Nahar dan hari Tasyrik. Ibadah utama yang dilaksanakan sudah tentulah ibadah haji, hari raya Aidiladha dan ibadah korban.

Saban tahun kehangatan mengerjakan haji mula terasa seawal usainya berpuasa di bulan Ramadan. Lazimnya kursus haji perdana mula digiatkan dan penerbangan jemaah ke tanah suci bermula pada awal bulan Zulkaedah. Namun, pada tahun ini kesunyian terasa tatkala kerajaan dengan berat hati mengumumkan penghantaran jemaah haji ditangguhkan. Ia merupakan satu keputusan yang telah diramal oleh banyak pihak.

Bukan Malaysia sahaja yang mendapat impaknya. Bahkan Arab Saudi yang menguruskan lebih 2.5 juta jemaah haji setiap tahun juga mengambil langkah berhati-hati dengan mengehadkan jumlah jemaah kepada 1,000 orang pemastautin sahaja. Pandemik COVID-19 telah mengheret seluruh dunia mengubah amalan biasa kepada kebiasaan baharu termasuklah aktiviti keagamaan yang menjadi kewajipan bagi umat Islam.

Keanjalan Syariah
Dari satu sisi, kita harus sedar bahawa sebahagian besar ibadah dalam Islam tidak bersifat peribadi tetapi ia melibatkan hubungan dan interaksi sosial. Menyedari hal ini para ulama meneliti isu dan implikasinya terhadap aspek ibadah. Ternyata konsep Maqasid Syariah memandu para ulama dalam mengeluarkan hukum berkaitan pelbagai bentuk ibadah termasuklah ibadah haji dan korban.

Menurut Syeikh Ahmad al-Raysuni, Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Maqasid Syariah bermaksud tujuan-tujuan yang telah ditetapkan oleh syariat bagi merealisasikan kemaslahatan manusia. Definisi ini menekankan dua perkara penting iaitu ‘tujuan’ dan ‘kemaslahatan’. Tujuan pensyariatan sudah tentulah diambil berdasarkan dalil daripada al-Quran dan Sunnah yang antara lain menggariskan kepentingan ‘mengelakkan kesukaran’ dan ‘menghindari kerosakan’.

Umum mengetahui pandemik COVID-19 yang berlaku merupakan satu kemudaratan yang besar kepada penduduk dunia. Berpandukan kepada tujuan pensyariatan yang menuntut supaya setiap kerosakan dan kemudaratan perlu dielakkan, seluruh dunia perlu menangani wabak COVID-19 dengan bijak. Ia penting demi menjamin kemaslahatan manusia.

Elemen kedua yang ditekankan dalam definisi Maqasid Syariah ialah kemaslahatan. Menurut Imam al-Ghazali, maslahah merujuk kepada langkah memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dan mengelakkan sebarang kemudaratan berlaku terhadap kelima-lima elemen ini.

Wabak COVID-19 mengancam nyawa sehingga boleh menyebabkan kematian. Maka ia perlu ditangani demi untuk mencapai objektif pensyariatan dalam menghilangkan kemudaratan. Jika ia ini tidak ditangani segera, wabak ini bukan sahaja mengancam nyawa malah menyebabkan kesan domino terhadap empat elemen maslahah yang lain. Contohnya, dalam memelihara:

- Agama: pengembangan syiar Islam terbantut kerana lebih ramai manusia terkorban.
- Akal: pembangunan dan penyelidikan tergugat kerana tahap kesihatan merosot.
- Keturunan: zuriat keturunan tidak berkembang akibat bilangan kematian meningkat .
- Harta: lebih banyak kos diperlukan untuk merawat penyakit ini.

Justeru tindakan kerajaan untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji adalah tepat berdasarkan penelitian syarak. Ia tidak bertentangan dengan tuntutan kelima rukun Islam kerana ayat 97 dalam Surah Ali Imran menjelaskan, “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

‘Mampu’ atau dalam istilah bahasa Arabnya iaitu ‘istito’ah’ merangkumi aspek fizikal seperti kesihatan dan keselamatan dan aspek material seperti kewangan. Sekiranya syarat kemampuan tidak tercapai, maka selayaknya ibadah ini ditangguhkan. Ini kerana tahap kebolehjangkitan COVID-19 yang tinggi melalui interaksi sosial boleh mengundang penularan wabak secara drastik. Oleh itu, penyakit ini dilihat sebagai salah satu kekangan dalam mencapai maksud ‘istito’ah’.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat golongan yang memenuhi syarat mampu untuk mengerjakan haji. Tetapi pencegahan daripada berlakunya lebih banyak kemudaratan perlu dielakkan. Ia selaras dengan kaedah fiqh yang bermaksud, ‘mencegah kemudaratan diutamakan berbanding mencapai kemaslahatan.’ Melihat kepada aspek ini, kerajaan perlu memainkan peranannya dan setiap keputusan yang diputuskan oleh kerajaan perlu mengambil kira kepentingan awam.

Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP
Kita bertuah kerana usaha mengekang penularan wabak COVID-19 sebelum ini membolehkan kita menyambut Aidiladha sebagai kemuncak ibadah yang dilakukan sejak 1 Zulhijjah. Masih belum terlambat untuk kita laksanakan pelbagai amalan sunat seperti puasa pada hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah dalam Sahih Muslim, “Puasa pada hari Arafah dihitung oleh Allah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang seterusnya”. Pada hari tersebut, umat Islam yang tidak mengerjakan haji disunatkan untuk bertakbir dan bertahmid setelah selesai solat fardu sehinggalah waktu asar pada 13 Zulhijjah.

Kemeriahan Aidiladha dapat dirasai dengan berkumandangnya laungan takbir serta amalan-amalan sunat yang lain. Ia disambut pula dengan takbir yang bertalu-talu ketika mengerjakan ibadah korban. Sekalipun pelaksanaan ibadah korban adalah terhad dari sudut kapasiti kehadiran dan bilangan korban, namun ia tidak menghalang amalan sunat muakkad ini dikerjakan. Apa yang penting, kita perlu cakna terhadap SOP yang ditetapkan dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan ahli keluarga. Wajib dipastikan bahawa kitalah pengikat hubungan dengan Allah dan sesama manusia dan kitalah jua pemutus rantaian COVID-19.